Dr Mahathir kritik Pas bekerjasama dengan UMNO, parti bukan Islam

0
16
Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Menurut laporan Berita Harian, bekas Perdana Menteri itu berkata, hingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

“Parti Pas ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. …dahulu Pas kata UMNO parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

“Tapi tanpa menafikan bahawa UMNO itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir, …dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir.

“Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran Pas, Pas sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama Pas itu adalah kafir,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia, ‘Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara’ di sini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada April 1981 melalui Amanat Haji Hadi dikatakan mengkafirkan UMNO sehingga menyaksikan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.

Namun pada 2019, Pas bekerjasama dengan musuh tradisinya, UMNO di bawah semangat ‘perpaduan ummah’ atas nama Muafakat Nasional (MN).

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan Pas yang dipimpin Abdul Hadi ketika ini berbeza dengan pendekatan yang dibawa bekas pemimpin parti itu, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pada masa sama, Dr Mahathir berkata, Pas kini dilihat seolah-olah sebuah parti yang oportunis dengan mengenepikan prinsip apabila peluang mendapatkan jawatan dan kedudukan ‘terbentang’ di hadapan mereka.

“Jadi kita tidak tahu apa sebabnya PAS ditubuh sama ada untuk Islam atau hendak jadi wakil rakyat dan menteri besar, …jadi wakil rakyat dan menteri besar dapat gelaran YB, YAB dan dapat duit.

“Nampak tumpuan bukan pada Islam tetapi nak pegang jawatan untuk dapat duit,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, pihaknya mengakui ramai pihak yang tampil menyuruhnya kembali memegang jawatan sebagai perdana menteri kali ketiga sekiranya gabungan Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpinnya menang PRU15.

“Saya tidak bersedia tetapi banyak orang suruh, …waktu ini (saya) tidak buat keputusan apa-apa, saya tidak tolak dan tidak terima,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here