Floria Putrajaya dilanjut sehingga tamat cuti sekolah, dibuka percuma esok

0
133
DR. SHAHIDAN KASSIM bergambar bersama pemenang-pemenang anugerah pada Majlis Penutup Royal Floria di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya ( Royal Floria Putrajaya 2022) yang sepatutnya berakhir hari ini dilanjutkan sehingga tamat cuti sekolah iaitu 11 September ini.

Berita itu diumumkan Menteri Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada majlis penutup Royal Floria di Anjung Floria sebentar tadi.

Dr. Shahidan turut mengumumkan akses masuk percuma ke festival itu bermula esok.

“Festival yang bermula pada 29 Ogos lalu ini akan dibuka secara percuma bermula esok sempena tamatnya tempoh penganjuran dan bermulanya cuti sekolah.

“Keputusan ini adalah sebagai menghargai sambutan dan minat rakyat Malaysia kepada festival ini.

“Semoga usaha sebegini menjadi sebahagian daripada manfaat untuk rakyat mengisi masa cuti,” katanya pada Majlis Penutup Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria di sini hari ini.

DR. SHAHIDAN KASSIM bergambar bersama kakitanga Perbadanan Putrajaya dan warga Kementeriannya pada Majlis Penutup Royal Floria Putrajaya hari ini.

Shahidan berkata, keputusan melanjutkan penganjuran festival bertemakan Floria Hebat itu dibuat selepas mengambil kira peluang percutian rakyat negara ini dan pelancong dari luar negara.

“Kita akan pastikan acara-acara menarik akan diteruskan sehingga Ahad ini termasuk tawaran cabutan bertuah berupa motosikal, peti ais dan banyak lagi” katanya.

Sementara itu, penganjuran Royal Floria Putrajaya yang tertangguh selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 itu setakat ini menerima 400,000 pengunjung.

Berikutan lanjutan selama lima hari festival itu, Shahidan berkata pihaknya mensasarkan tambahan lebih 100,000 lagi pengunjung.

“Kita sudah terima 400,000 orang pengunjung dan diharapkan dengan pelanjutan festival ini
jumlah itu akan jadi 500,000,” katanya.

“Walaupun hanya menerima lapan penyertaan luar negara kali ini kerana pandemik, ramai peserta luar negara yang telah menyuarakan hasrat untuk turut serta dalam festival akan datang,” katanya.

Pada majlis itu juga Shahidan turut mengumumkan bunga raya sebagai bunga rasmi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Saya rasa Putrajaya kena ada bunga rasmi sendiri macam bandar-bandar lain. Seremban ada Orkid, Subang Jaya (Kenanga) dan Petaling Jaya (Denai Merah).

“Maka untuk Putrajaya bunga raya saya umum sebagai bunga rasmi. Ini sesuai sebagai pusat pentadbiran negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here