Gangguan seksual: Garis panduan ceramah di sekolah akan dipinda – Radzi Jidin

0
12
Datuk Dr Radzi Jidin

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengkaji semula garis panduan untuk digunakan dalam pelantikan penceramah luar oleh pihak sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementerian memandang serius isu perlakuan amang seksual dan akan melaksanakan semua langkah yang perlu untuk menanganinya.

Beliau berkata, walaupun sudah ada garis panduan mengenai perkara itu, ia akan diteliti semula kerana mungkin berlaku pematuhan atau pelaksanaan yang kurang diberi perhatian.

“Sekiranya kementerian bertindak lebih tegas dalam isu ini, semua pihak kena faham bahawa tindakan yang diambil ini adalah untuk memastikan keselamatan anak-anak di sekolah.

“Kita nak pastikan dalam konsep Sekolah Sejahtera, sekolah itu mestilah kawasan yang selamat

“Jadi kami sedang meneliti kaedah atau garis panduan yang digunakan oleh pihak sekolah untuk memanggil penceramah motivasi ke sekolah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan di Sekolah Sultan Alam Shah, di sini hari ini.

Kelmarin, seorang penceramah bebas dan juga selebriti ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual kepada beberapa orang pelajar lelaki selepas mengenali mangsa menerusi program motivasi sekolah di sekitar Selangor.

Bagaimanapun menurut Dr. Radzi, garis panduan yang sedia ada masih terpakai sehingga pihaknya mengumumkan garis panduan atau pekeliling yang berikutnya.

“Apa sahaja sistem yang terpakai sekarang diteruskan sehingga kami mengemukukakan garis panduan yang baharu kerana dalam perkara ini kami perlu mencari kesimbangan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here