Harga emas dijangka naik kepada RM262 segram menjelang hujung tahun

0
17
Gambar hiasan. Kredit foto Habib Jewels

KUALA LUMPUR – Harga emas dijangka mencecah paras AS$1,800 seaun (RM262 segram) menjelang hujung tahun ini berbanding AS$1,670 seaun (RM243.39 segram) pada ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Bullion Market Association, Albert Cheng berkata, ia berikutan persekitaran pasaran yang lebih stabil dan jangkaan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) akan terus memberi tekanan kepada pergerakan harga emas.

Beliau berkata, harga logam berharga itu dijangka berlegar kepada paras semasa sekitar AS$1,600 hingga AS$1,700 seaun buat masa ini di tengah-tengah persekitaran kadar faedah yang meningkat.

“Pasaran menjangkakan kenaikan kadar faedah AS sebanyak 0.75 hingga 1.00 peratus, yang mana jangkaan itu mendorong peserta pasaran memilih untuk menjual pegangan emas mereka dan ia menjejaskan harga.

“Namun, saya tidak jangka harga emas akan menyusut secara ketara dengan mencecah paras di bawah AS$1,500 seaun,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai tinjauan harga emas pada perbincangan panel industri bertajuk ‘Adakah Emas Satu Aset Selamat dalam Situasi Ketidaktentuan dan Kadar Faedah Tinggi?’ hari ini.

Perbincangan panel itu diadakan sempena pelancaran kontrak Niaga Hadapan Emas (FGLD) Bursa Malaysia Derivatives Bhd yang ditambah baik hari ini.

Mengulas lanjut, Cheng berkata, harga emas dijangka tidak akan meningkat dengan ketara dalam tempoh terdekat untuk mencecah paras AS$2,000 seaun berikutan persekitaran kadar faedah yang kukuh.

Beliau berkata, apabila persekitaran pasaran kembali normal, harga emas akan dalam trajektori meningkat dengan peningkatan secara perlahan-lahan.

Katanya, permintaan terhadap emas masih utuh dengan pengguna terbesar emas adalah dari China dan India.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here