Ibu bapa pelajar Brainy Bunch tidak perlu gusar – Coach Fadzil

0
140
COACH FADZIL

CYBERJAYA – Golongan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke Brainy Bunch tidak perlu gusar dengan berita yang sedang berlegar di media sosial buat masa ini.

Pengasasnya, Mohd., Fadzil Hashim berkata, isu berkenaan timbul akibat tindakan salah sebuah pembekal perkhidmatannya yang kini sedang melalui proses mahkamah.

“Kami telah mengarahkan peguam kami untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang.

“Ini adalah bagi memastikan hak dan kepentingan Brainy Bunch berterusan dijaga,” katanya yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak semalam, satu notis mahkamah mengenai tuntutan syarikat pembekal berkenaan kepada Brainy Bunch menjadi tular di media sosial.

“Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan ulasan panjang mengenai perkara tersebut, kerana ia sedang melalui proses mahkamah.

“(Bagaimanapun) Saya amat kesal dengan penularan notis tersebut, yang saya percaya disebarkan oleh beberapa pihak yang tidak bertanggung jawab,” katanya lagi.

Coach Fadzil seterusnya menjelaskan, pihaknya sentiasa meletakkan kebajikan dan perkembangan anak-anak sebagai sasaran utama perniagaannya.

“Bagi 2023, kami akan terus menambah baik kemudahan buat para pelajar, dan antara yang dirancang termasuk membina kolam renang dan gimnasium di pusat pendidikan kami.

“Semua ini dilakukan bagi memastikan anak-anak mendapat kemudahan yang mencukupi bagi membantu perkembangan dan pembelajaran mereka,” katanya.

Beliau kemudiannya menambah, Brainy Bunch dijangka menjana pendapatan sebanyak RM80 juta bagi tahun 2022.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua ibi bapa pelajar dan juga penyokong usaha kami.

“Saya ingin memohon maaf jika berita tular yang berlegar di media sosial telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan anda.

“Semoga kita semua dilindungi dari perkara yang tidak baik, dan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat,” tambah Coach Fadzil lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here