IPPTAR tawar peluang terokai dunia media dengan yuran serendah RM30

0
121
Kredit foto – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

KUALA LUMPUR – Dengan yuran serendah RM30, orang awam kini boleh menghadiri pelbagai kursus media yang ditawarkan secara profesional oleh Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam berkata, bayaran yuran berkenaan adalah untuk sijil dan kursus bagi tempoh tiga hingga lima hari yang akan dijalankan di IPPTAR.

Katanya, IPPTAR menawarkan 80 kursus berkaitan teknologi penyiaran, penerbitan, pembangunan kandungan dan komunikasi.

Ketua Bahagian Akademik IPPTAR, Kumaran Subramaniam.

“Peranan IPPTAR tidak terhad kepada pengajian secara amali sahaja malah teori dan akademik turut diberikan penekanan dalam modul mereka.

“Akademik dan pengalaman adalah dua benda yang berbeza dan peranan IPPTAR adalah untuk memberikan penekanan terhadap dua perkara tersebut.

“Ada yang dari universiti mempunyai tahap akademik yang baik tapi tidak boleh mengaplikasikannya untuk bekerja.

“Oleh sebab itu, kita akan gabungkan teori dan pengalaman daripada penerbit dan terbitkan satu modul yang boleh melahirkan seorang penerbit yang berdaya saing,” katanya kepada Malakat Tribune.

Kredit foto – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau berkata, IPPTAR turut mengadakan kolaborasi dengan universiti tempatan dan anatarabangsa untuk meningkatkan kualiti modul pembelajaran.

“Kita sudah beri latihan kepada jurutera penyiaran kita untuk menghasilkan kandungan bertaraf antarabangsa supaya kandungan ini boleh dijual di luar negara.

“Contohnya pada bulan Disember ini kita akan buat kolaborasi dengan sebuah universiti media terkemuka di Australia.

“Kita akan jemput tenaga pengajar mereka untuk beri latihan kepada penerbit dan pemain industri kita agar mereka dapat ilmu baharu mengenai teknik yang terbaru digunakan dalam industri,” katanya.

Tambahnya lagi, kolaborasi antara IPPTAR dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) juga dilakukan bagi tujuan maklum balas terhadap modul yang dihasilkan.

“Kita juga ada buat kolabarasi dengan UiTM untuk mereka kaji modul kursus dokumentari kita dan mereka akan beri maklum balas terhadap kandungan yang terdapat dalam modul tersebut serta peralatan yang kami gunakan,” ujarnya lagi.

Selain itu, ditanya mengenai rancangan IPPTAR untuk mewujudkan satu saluran pembelajaran secara kendiri, Kumaran berkata, Itu merupakan salah satu aspirasi IPPTAR.

Studio radio. Kredit foto – Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR).

“Kita memang sudah rancang dalam masa lima tahun akan datang untuk belajar secara digital dan kendiri dengan mewujudkan sebahagian kursus dan fasilti menerusi e-content, e-tempahan, e-certificate, e-payment dan bermacam-macam lagi.

“Sekarang pengajar dan peserta program sahaja yang boleh melihat nota. Tapi akan datang kita akan buka pelajar yang ada di universiti kita boleh rujuk modul kita.

“Ini kerana modul yang mereka pelajari dan apa yang diguna pakai dalam industri adalah berbeza. Dengan adanya e-library IPPTAR mereka boleh rujuk untuk tujuan pembelajaran mereka dan ini dalam perancangan kita,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sebanyak 2,500 peserta terdiri daripada penjawat awam, pemain industri dan orang awam telah menerima manfaat daripada latihan yang diberikan IPPTAR pada setiap tahun selari dengan peranannya untuk membantu pengamal media di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here