Ismail Sabri beri jaminan masyarakat India tidak dipinggirkan

0
2
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR — Kerajaan memberi jaminan masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam menikmati arus pembangunan negara selaras dengan falsafah Keluarga Malaysia “Tiada Siapa Akan Ketinggalan’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui falsafah itu kerajaan telah meluluskan pelbagai peruntukan dan inisiatif untuk masyarakat India, termasuk usaha membanteras kemiskinan, pembangunan sosial, ekonomi dan menjamin kemakmuran.

“Antaranya peruntukan RM100 juta di bawah MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia) untuk membasmi kemiskinan di bawah Kementerian Perpaduan.

“Inisiatif lain termasuk RM25 juta diperuntukkan bagi program pembangunan usahawan masyarakat India.

“Sebagai tambahan terhadap usaha sedia ada mesyuarat Kabinet juga meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (JKMPSI) yang dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya.

Ismail berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran.

Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa itu membuktikan masyarakat India adalah sebahagian daripada aspek penting dalam pentadbiran Keluarga Malaysia.

“MIC kini sedang berbincang dengan semua pihak berkepentingan sebelum semua cadangan daripada masyarakat India dibawa ke mesyuarat jawatankuasa,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata kerajaan, melalui Kementerian Sumber Manusia, pelbagai latihan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula, ekonomi gig dan program disediakan untuk manfaat belia India.

Kementerian yang sama juga memperuntukkan RM50 juta untuk membantu usahawan dan peniaga India.

“Di bawah program Asian International Mobility for Students (AIMS), RM25 juta diperuntukkan untuk membantu pelajar universiti daripada kumpulan B40,” katanya.

Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan RM2 juta untuk pelajar India daripada golongan miskin tegar dan turut bersetuju dengan cadangan Vigneswaran untuk meletakkan Mitra di bawah Jabatan Perdana Menteri dan menubuhkan Yayasan Mitra.

“Tan Sri Vigneswaran mencadangkan memasukkan peruntukan RM2 juta [ke dalam Bajet] untuk pelajar miskin tegar. Tidak perlu tunggu Bajet, saya akan luluskan RM2 juta hari ini,” katanya.

Mengenai Briged MIC, beliau yakin gerakan itu akan menjadi pemangkin untuk memastikan kemenangan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here