Ismail Sabri tiba di Abu Dhabi, mulakan lawatan kerja selama empat hari 

0
16
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kiri) memulakan lawatan kerja selama empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini.

ABU DHABI – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Abu Dhabi dan akan memulakan lawatan kerja selama empat hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula hari ini.

Pesawat yang membawa perdana menteri dan delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi pada jam 8.25 pagi (12.20 tengah hari waktu Malaysia).

Ketibaan beliau disambut Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohammed Al Mazrouei, Duta UAE ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar. 

Memetik laporan Bernama, Ismail Sabri akan memulakan lawatan beliau hari ini dengan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) yang fokus utama ialah potensi kerjasama antara ADNOC dan Petronas Malaysia dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

Pada sebelah petang, perdana menteri dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, di Istana Presiden di Abu Dhabi.
 
Ia merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden baharu UAE pada 14 Mei. 

Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE.

Antara bidang tumpuan baharu ialah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5 Tahun.

Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta ummah.

Pada Selasa, perdana menteri dijadual menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Ranhill Utilities dan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC – MASDAR. 

Untuk rekod, pada tahun 2021, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE pada tahun tersebut juga meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (US$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (US$4.93 bilion) pada 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here