Isu mangsa sindiket penipuan bakal dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet esok – Abdul Latiff 

0
18
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (tengah) dalam satu sidang media berkenaan kes rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan di beberapa buah negara ASEAN. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

PUTRAJAYA – Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa buah negara ASEAN bakal dibentangkan di mesyuarat Kabinet pada esok jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.  

Menurut Latiff, beliau telah diminta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob untuk meninjau kes dengan lebih terperinci sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Saya telah diminta oleh Perdana Menteri sendiri untuk melakukan tinjauan mengenai kes ini dengan lebih mendalam sehingga kita terpanggil untuk bawa perkara ini dalam mesyuarat kabinet esok. 

“Kerajaan memandang serius isu ini kerana membabitkan isu sindiket penipuan dan saya yakin perkara ini akan dapat diselesaikan esok selepas dibentangkan esok,” katanya kepada Malakat Tribune. 

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Menara Usahawan di sini, hari ini. 

Tambah Latiff lagi, kerajaan sudahpun memulakan rundingan dengan negara seperti Kemboja dan Laos untuk membawa mangsa pulang namun terdapat sedikit kesukaran dengan negara Myanmar. 

“Laos dan Kemboja komited untuk membantu dalam kes ini namun mungkin kita ada masalah sikit dengan Kerajaan Myanmar,”ujarnya lagi. 

Yang hadir sama, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dan wakil-wakil keluarga mangsa. 

Mengulas lanjut, Musa yang juga Presiden Pertubuhan Kepertihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), berkata, beliau sudah berhubung dengan pihak polis mengenai isu ini. 

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu sidang media berkenaan kes rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan di beberapa buah negara ASEAN. Kredit foto – Najmi Zulkefle.

“Saya telah berhubung dengan pihak polis untuk mendapatkan maklumat dan   jalankan siasatan bagi kes ini dan Insya-Allah pihak polis juga akan membantu menyelamatkan mereka. 

Dalam pada itu, rata-rata ahli keluarga mangsa penipuan yang hadir pada hari ini juga kelihatan sedih dan berharap anak-anak mereka dapat dibawa pulang dengan selamat. 

“Apa yang saya bimbangkan sekarang ini adalah keselamatan mereka kerana kebanyakkan mereka tiada passport dan dokumen perjalanan yang sah.

“Saya harap kerajaan dapat tolong mereka untuk balik dengan selamat yang mana kebanyakkan mereka menggunakan ‘jalan tikus’ untuk masuk ke negara berkenaan,” kata salah seorang wakil mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here