Isu tandas sekolah kotor boleh diselesaikan menerusi pengubahsuaian

0
16

CYBERJAYA – Masalah tandas kotor di sekolah boleh diselesaikan menerusi beberapa pengubahsuaian peralatan yang digunakan.

Presiden Malakat Eco, Mohd. Fadzil Hashim berkata, masalah ini bukanlah baharu dihadapi pihak sekolah, tetapi sejak dari zaman persekolahannya lagi.

“Kesian warga sekolah.

“Dari saya kecil sampai sekarang tandas masih terlalu kotor,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Dalam hantaran yang sama, beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, sudah sampai masanya pihak sekolah melakukan pengubahsuaian pada tandas sekolah bagi mengatasi masalah yang tidak pernah selesai ini.

Salah satu langkah yang dicadang Coach Fadzil adalah mengalihkan kedudukan ‘hand bidet’ dari dalam tandas ke luar bagi memastikan lantai sentiasa kering.

Beliau turut mencadangkan supaya mangkuk tandas yang digunapakai sekarang ditukar kepada model yang berlainan.

“(Satu lagi) ganti toilet seat guna design dari Turkiye yg mana air keluar dari belakang tanpa nozzle, jadi masih boleh basuh guna tangan tapi toilet akan kekal kering,” cadangnya lagi.

Jika dibandingkan dengan rekabentuk tandas awam pada masa kini, rekaan tandas sekolah masih menggunapakai blueprint lama iaitu kesemua tandas adalah kawasan basah.

Rekaan ini menambah beban petugas kerana terpaksa melakukan tugas pembersihan di kawasan yang luas, iaitu di keseluruhan tandas.

Tandas yang memisahkan kawasan basah dan kering direka bagi mengurangkan kebergantungan pada petugas yang ramai dan waktu pembersihan yang terlalu kerap dan lama.

Isu tandas kotor di sekolah dibangkitkan baru-baru ini oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Mat Jidin yang berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai keengganan murid untuk mengambil sarapan pagi semata-mata kerana ‘takut’ untuk ke tandas sekolah yang terlalu kotor dan berbau busuk.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here