Jambatan Manjalara yang uzur akan diganti baharu – PM

0
25
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melambai ke arah orang ramai sempena program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Kedah hari ini.

ALOR STAR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menggantikan Jambatan Manjalara di Kota Setar di sini yang telah uzur dengan sebuah jambatan baharu.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah bagi memastikan lalu lintas lebih sistematik, untuk kemudahan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan sentiasa peka dan prihatin akan kepentingan jalinan jalan raya yang sempurna untuk memudahkan Keluarga Malaysia khususnya di negeri Kedah untuk menjalankan kegiatan harian dengan selamat dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, katanya, bagi keselesaan Keluarga Malaysia, kerajaan juga membelanjakan RM425 juta untuk menaik taraf laluan tujuh dari persimpangan Lencongan Barat ke persimpangan Tiga Kemboja, selain memperuntukkan RM526 juta untuk menaikkan taraf jalan persekutuan Gerik/Kupang/Lunas.

Mengulas lanjut, katanya, sebanyak RM1.13 bilion juga diperuntukan melibatkan 109 projek baharu dan sedia ada oleh kerajaan bagi pembangunan sekolah serta institusi pendidikan di negeri itu.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga peka dengan nasib usahawan luar bandar yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dengan menyediakan bantuan berupa Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) Re-Start.

Beliau berkata, seramai 156 orang peserta telah menerima manfaat, dengan nilai kelulusan sebanyak RM780,000.

“Di samping itu, Program Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) patuh syariah, turut menawarkan pembiayaan sehingga RM250,000 kepada usahawan luar bandar, melalui agensi pelaksana Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (BKRM) dan Small Medium Enterprise Development Bank (SME Bank).

“Program Start Right (PSR) @KPLB telah diperkenalkan, untuk memberi peluang kepada belia luar bandar dalam kumpulan B40. Dengan bantuan sebanyak RM10,000, penerima boleh memulakan perniagaan berdasarkan bidang kemahiran masing-masing,”ujarnya.

Sementara itu, katanya, bagi menyediakan hidup yang berkualiti dan kesejahteraan keluarga miskin tegar dan miskin, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), dengan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan selamat.

Katanya, bagi memenuhi inisiatif itu sebanyak 844 unit rumah kini dibina dan dibaik pulih di negeri Kedah, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM15.702 juta yang memanfaatkan lebih 4,220 ahli isi rumah luar bandar.

Kerajaan juga cakna dalam meningkatkan fasiliti perubatan, dan tahap kesihatan Keluarga Malaysia termasuk di negeri Kedah. Di bawah peruntukan RP4, RMK12, kerajaan telah merancang untuk membina sebuah Pusat Kanser Wilayah Utara (PKWU) yang terletak di Sungai Petani.

Selain itu, bagi meminimumkan kesan bencana banjir di Kedah, kerajaan komited melaksanakan sebanyak tujuh Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dalam RMKe-12 dengan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion, termasuk di Sungai Pendang; Sungai Kedah/Anak Bukit; Baling, Kuala Pegang dan Bandar Jitra Selatan,”ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here