Jangan ‘bunuh’ potensi anak, hargai juga bakat lain dimiliki mereka – nasihat Radzi Jidin

0
10
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bersama bakat baharu sukan sepak takraw.

CYBERJAYA – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menasihatkan ibu bapa tidak ‘membunuh’ potensi anak masing-masing tanpa melihat bakat lain yang dimiliki mereka.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan ibu bapa lebih gemar mengejar kejayaan dalam akademik semata-mata tanpa melihat kekuatan mereka dalam bidang masing-masing, termasuk dalam bidang sukan.

“Petang tadi (semalam) saya berkesempatan menonton filem ‘Anak Rimau’ bersama 250 murid dari sekitar Lembah Klang. Filem ini menceritakan mengenai sekumpulan anak murid yang berbakat dalam bola sepak di sebuah akademi.

“Saya cukup tersentuh dengan beberapa babak dalam filem ini. Pertama bila kapten yang dikenali sebagai Arif menceritakan bagaimana sewaktu di sekolah rendah, dia rasakan tidak dihargai oleh sesiapa.

“Ini kerana dia bukanlah seorang murid pandai, gurunya juga tidak memandang kebolehan Arif. Malah bapanya juga mengatakan dia tidak mempunyai masa depan,” katanya menerusi video di TikTok, hari ini.

Radzi berkata, beliau sangat terkesan dengan perkara yang berlaku kepada Arif yang mana situasi sebegini sangat memberi kesan kepada anak-anak kita.

Beliau berkata, apabila dia rasakan tidak ada nilai di sekolah, maka mereka mula menjauhkan diri dari sekolah.

Bagaimanapun Radzi berkata, dalam satu babak menceritakan, akhirnya remaja itu berasa dihargai ketika berada dalam akademi bola sepak dan mengetahui sebenarnya mempunyai kekuatan dalam sukan berkenaan.

“Sewaktu di akademi ini, barulah dia tahu bahawa sebenarnya diri dia ada kekuatan sehingga dilantik sebagai kapten pasukan, Bagi dia, kalau dia tak masuk akademi ini, dia tidak tahu akan kekuatan itu, dia rasakan dia hanyalah manusia tiada nilai.

“Sebab itu saya selalu sebut, kita tidak boleh membunuh potensi anak terlalu awal kerana setiap seorang daripada kita ada kekuatan masing-masing.

“Tak pandai dalam bidang akademik atau mata pelajaran tertentu, mesti akan ada kekuatan lain dalam diri itu. Insya-Allah dengan usaha, mereka akan berjaya dan melonjak ke hadapan.

“Apa yang penting jangan bunuh potensi anak kita terlalu awal, saya doakan yang terbaik untuk generasi dan pewaris masa hadapan kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here