Jangan sampai Zainab jadi macam Jho Low-Pengarah Strategi PKR 

0
24
Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Nasir (tengah) mengadakan sidang media di perkarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas membuat laporan berhubung isu penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS) di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak untuk menjalankan siasatan terhadap Zainab Mohd Salleh, individu yang didakwa terlibat secara langsung dalam kes penyelewengan dana kapal tempur pesisir (LCS).

Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Nasir berkata, pihaknya juga melahirkan rasa hairan dengan sikap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang bersungguh-sungguh mendesak pihak polis untuk menjalankan siasatan terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendedahkan isu LCS.

“Adakah Zainab ini berperanan seperti Jho Low kepada Latiff Ahmad kerana individu ini sehingga ke hari ini masih tidak muncul dan kenapa ingin melindungi indentiti dia?

“Kalau betul Latiff Ahmad selaku mantan Timbalan Menteri Pertahanan dan juga sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kenapa tidak berterus terang mengenai identiti Zainab?,” soalnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di perkarangan Ibu Pejabat SPRM selepas membuat laporan berhubung perkara tersebut bersama Pengarah Komunikasi PKR Kedah, Aizuddin Arifin.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai seorang menteri, Latiff Ahmad perlu mengisytiharkan harta termasuk pegangan terhadap perniagaan beliau serta rekod perbelanjaannya.

Namun, sehingga kini katanya, berdasarkan hasil semakan yang dilakukan di laman sesawangn SPRM, nama Latiff Ahmad sudah mengisytiharkan harta tetapi tiada butiran lanjut.

Tambahnya lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah individu yang sepatutnya bertanggunjawab mendesak Latiff Ahmad mengisytiharkan harta.

“Kami hanya jalankan amanah. Orang yang sebenar boleh desak Latiff ialah Perdana Menteri sendiri beliau perlu desak Latiff supaya isytihar harta secara terbuka dan yang kedua adalah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin,”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga berharap agar laporan pada hari ini akan mengembalikan fokus terhadap skandal LCS ini kerana melibatkan dana berbilion ringgit yang telah dilaporkan dalam laporan forensik PAC dan pendedahan Rafizi yang membuktikan telah berlaku ketirisan.

Terdahulu, Rafizi Ramli mendakwa Latiff Ahmad dan isterinya, Zainab Mohd Salleh terlibat secara langsung dalam kes penyelewengan dana LCS.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here