Kadar baharu RMT akan diumum dalam Belanjawan 2023 – Radzi 

0
7
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (tengah) meluangkan masa bersama jurulatih sepak takraw selepas melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Presint 5(1) di sini, hari ini. Kredit Foto – Najmi Zulkefle.

PUTRAJAYA – Kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi murid sekolah rendah masih dalam perbincangan dan akan diumumkan dalam belanjawan akan datang.

Kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Mat Jidin, usaha untuk menyelesaikan isu tersebut telah dibincangkan bersama Kementerian Kewangan.

“Berkaitan dengan RMT kita kena tunggu bajet dan kita sudah melakukan perbincangan yang panjang lebar dengan Kementerian Kewangan.

“Banyak perkara yang kita sudah bincang dan apa-apa pun kita tunggu pengumumam semasa belanjawan nanti,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Tambah Radzi lagi, pihak Kementerian Pendidikan (KPM) bukan sahaja membincangkan mengenai RMT malah ada perkara lain yang akan dimasukan sekali dalam belanjawan yang bakal diumumkan.

“Pihak kami bukan saja membincangkan mengenai RMT tapi kami juga memikirkan perkara-perkara lain yang boleh dimasukkan sekali dalam belanjawan dan banyak perkara-perkara lain juga akan diberi penekanan dalam belanjawan akan datang,” ujarnya.

Kadar RMT ketika ini RM2.50 bagi murid di Semenanjung dan RM3.00 di Sabah, Sarawak serta Labuan.

Terdahulu, beliau melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) di sini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin (kiri) melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Presint 5(1) di sini, hari ini. Kredit Foto – Najmi Zulkefle

Kata Radzi, program tersebut adalah salah satu usaha KPM untuk memastikan bakat murid-murid sekolah yang berpotensi dalam acara sukan dapat diketengahkan.

“Murid yang berpontensi tersebut akan ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

“Apa yang paling penting adalah kita mahukan setiap murid datang ke sekolah dan merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada sekolah,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, 150 buah sekolah melibatkan 1500 orang murid akan terlibat dalam fasa pertama program sukan sepak takraw tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here