Kalau saya gagal, maknanya Muhyiddin juga gagal

0
21
Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara (2022-2040) di Putrajaya, petang ini

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyifatkan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menganggap beliau sebagai Perdana Menteri telah gagal menguruskan ekonomi dan negara seumpama mengakui kegagalan sendiri.

Ismail Sabri berkata, tanggungjawab pengurusan ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama yang turut dipikul oleh Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Negara (MPN) memandangkan negara masih dalam pascapandemik Covid-19.

Katanya, selain diuruskan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed,

“Dari segi ekonomi, Tokpa (Datuk Seri Mustapa Mohamed) iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang menguruskan ekonomi, ada dengan saya.

“Dan kita juga ada MPN yang terlibat menasihatkan kerajaan dan dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin sendiri.

“Kalau gagal, bermakna semua gagal termasuk MPN pun gagal,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Tenaga Negara (2022-2040) di Putrajaya, petang ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, beliau sendiri masih tidak faham apa maksud sebenar yang cuba disampaikan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Saya tak tahu apa cerita yang sebenar sebab tak baca lagi, ini baru tahu ni,” katanya.

Muhyiddin hari ini mengeluarkan kenyataan meminta Perdana Menteri supaya mengadakan pilihan raya kerana berpendapat Ahli Parlimen Bera itu gagal menguruskan ekonomi negara.

Pandangan itu diberikan bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah ditubuhkan.

Dalam kenyataan di Facebooknya, Muhyiddin turut mendakwa kerajaan tidak mengambil sebarang langkah untuk menjelaskan langkah-langkah diambil untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here