Keluarga Malaysia rakam ucapan takziah kemangkatan Ratu Elizabeth II

0
10
Tangkap layar ucapan takziah daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi laman Twitternya hari ini.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewakili Keluarga Malaysia merakamkan ucapan takziah dan rasa sedih di atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

Perdana Menteri berkata, jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.

“Mewakili seluruh Keluarga Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat diraja baginda, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.

“Baginda yang juga pemerintah paling lama dalam sejarah dunia terkenal dengan sifat yang dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

“Jasa baginda mengekalkan hubungan baik United Kingdom dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai. Saya berharap keluarga Diraja Baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya hari ini.

Ratu Elizabeth II, muncul pemerintah paling lama bertakhta dalam sejarah negara itu, dilaporkan mangkat pada usia 96 tahun.

Istana Buckingham, dalam satu kenyataan ringkas, memaklumkan kemangkatan baginda sekali gus menandakan tempoh berkabung selama 10 hari bermula, ketika seluruh dunia mengucapkan takziah dan mengimbau kembali kegemilangan pemerintahan baginda.

Kenyataan itu menjelaskan, Ratu Elizabeth mangkat dalam keadaan tenang di Istana Balmoral (Scotland) tengah hari tadi (semalam) selepas 70 tahun bertakhta.

Putera tertua dalam kalangan empat anak baginda, Putera Charles, 73, secara langsung menaiki takhta sebagai Raja, dan melakar sejarah sebagai pewaris takhta tertua dalam sejarah Britain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here