Keluarga sudah maklum ubat diberikan kepada Najib ketika dirawat di HKL jenis sama – tegas KKM

0
33
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan rawatan yang sewajarnya telah diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes yang dirujuk ke hospital sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk
memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

“Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

“Pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh mantan Perdana Menteri dan ahli keluarga beliau.

“Keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan professional kedoktoran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL.

Pada masa sama, mereka juga dimaklumkan bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM.

“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL.

“KKM ingin memaklumkan bahawa KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahka mahkamah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here