Kemelut PSM dan Mastaf: Putrajaya Cyborg dan Selangor Piston disingkirkan dari aksi STL musim hadapan?

0
300
Aksi pemain Putrajaya Cyborg dalam aksi STL musim lalu

CYBERJAYA – Belum pun membuka tirai musim baharu, kejohanan sepak takraw berprestij Liga Sepak Takraw (STL) dihimpit kontroversi apabila dua pasukan elit musim lalu iaitu Putrajaya Cyborg dan Selangor Piston ‘disingkirkan’ daripada beraksi pada musim hadapan.

Difahamkan kedua-dua pasukan itu yang berpangkalan di Lembah Klang tidak menerima jemputan gara-gara kemelut antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (Mastaf).

Bercakap kepada Malakat Tribune, Pengurus Putrajaya Cyborg, Shahzan Ismail mengesahkan mengenai berita itu.

“Pada aksi musim lepas Putrajaya Cyborg beraksi di bawah kelolaan Majlis Sukan Wilayah dan boleh beraksi walaupun Persatuan Sepak Takraw Putrajaya bukan ahli PSM, malangnya musim ini tidak akan beraksi kerana kemelut persatuan-persatuan ini.

“Lebih dari lima musim Putrajaya Cyborg berusaha mendapat tempat ke STL premier bermula dari divisyen satu, nampaknya segala tenaga usaha dan sumbangan kami warga sepak takraw hanyalah sia-sia sahaja,” katanya dalam nada sedih.

Shahzan Ismail

Ditanya mengenai pemain pasukan itu, Shahzan berkata, anak buahnya juga terkesan selepas mendapat khabar berita itu dan ia telah menjejaskan emosi pemain.

Katanya, pemain pasukan itu juga hilang arah tuju dan tertanya-tanya mengenai nasib mereka selepas pasukan itu disingkirkan.

“Kemelut ini turut melemahkan momentum anak-anak dan peminat untuk meramaikan lagi minat terhadap sukan warisan negara ini.

“Seharusnya penganjur, Astro campur tangan dan jangan biarkan masalah PSM dan Mastaf menjadi halangan kepada pasukan yang layak beraksi di pentas STL pada musim yang akan datang.

“Ini bukan saja merugikan Astro malah mendatangkan satu prasangka yang tidak disukai seluruh peminat sepak takraw Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu menurut seorang peminat sepak takraw tempatan, Mustafa Yasa, berita itu amat mendukacitakan kerana ramai peminat sepak takraw mahukan kedua-dua pasukan yang layak beraksi di Liga Premier STL secara merit beraksi pada musim hadapan.

Malah, katanya, kedua-dua pasukan itu mempunyai pemain yang hebat dan ada antaranya beraksi bersama pasukan kebangsaan.

“Penganjur utama kejohanan ini iaitu Astro sepatutnya tidak berpihak kepada mana-mana persatuan kerana ini akan merendahkan mutu STL yang dianggap sebagai liga berprestij di Malaysia.

“Tindakan Astro dan PSM ini mencerminkan bahawa mereka bukanlah pejuang sepak takraw yang sebenar dan hanya mementingkan kedudukan dan keuntungan sahaja.

“Lebih membimbangkan apabila bakat pemain yang ada pada kedua-dua pasukan itu turut terjejas jika mereka gagal mendapat pasukan baharu pada musim hadapan,” katanya kepada Malakat Tribune.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here