“Kenyataan Ahmad Zahid disalah erti” – Annuar Musa

0
19

PUTRAJAYA – Kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mengatakan perikatan itu sanggup meredah banjir dan hujan lebat jika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini telah disalah erti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, maksud sebenar Ahmad Zahid berkata demikian adalah bagi menunjukkan jentera BN sudah cukup sedia menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“Saya tolong betulkan. Kenyataan itu mungkin disalah ertikan kerana tidak dikeluarkan satu kenyataan dasar.

“Saya suka ambil positif (kenyataan) presiden (Zahid) bermaksud nak tekankan jentera BN sudah siap siaga.

“Maknanya kalau banjir pun jentera sudah sedia. Tak semestinya presiden maksud nak adakan pilihan raya walaupun banjir,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan original soundtrack (OST) dan treler filem Seratus, di sini hari ini.

Ahmad Zahid ketika pelancaran jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu dilaporkan sebagai berkata, jentera BN sudah bersiap siaga sekiranya PRU15 diadakan pada November ini, iaitu ketika negara menghadapi musim banjir.

Tambah Annuar lagi, kenyataan Zahid itu merupakan pandangan peribadi sambil seterusnya menjelaskan, PRU15 tidak sesuai diadakan pada ketika waktu darurat terutamanya banjir.

“Jarang negara buat pilihan raya dalam suasana bencana yang sedang terpaksa dihadapi kerajaan.

“Kalau kita adakan (pilihan raya) dalam suasana yang tidak kondusif, peratusan undi rendah dan tidak membawa imej yang baik untuk negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here