Kenyataan Anwar tidak berasas dan tidak adil, Tun M hanya pimpin negara 22 bulan – Mukhriz 

0
37
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memberikan ucapan sebelum merasmikan Karnival Ayuh Heboh di pusat beli belah AEON Setiawangsa di sini, hari ini. Kredit foto – Najmi Zulkefle

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, menyifatkan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin ‘bukan reformis’ dan tidak berminat melakukan perubahan adalah tidak berasas.

Menurut Mukhriz, kenyataan tersebut adalah bersifat tidak adil kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Dr Mahathir hanya memerintah dalam tempoh yang sangat singkat.

“Kenyataan itu bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PH, sebagai contoh Lim Guan Eng mengatakan prestasi kita (PH) berada dalam tahap yang memuaskan walaupun bukan di tahap 100 peratus.

“Kita jangka manifesto yang kita rangka adalah untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bukan dalam tempoh tidak sampai dua tahun. Ini adalah satu kenyataan yang tidak berasas dan tidak adil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Ayuh Heboh di pusat beli belah AEON Setiawangsa di sini, hari ini.

Terdahulu, Karnival Ayuh Heboh yang diadakan bermula pada 23 September hingga 2 Oktober menyajikan pelbagai jenis makanan bertemakan ‘Thai Food’ dan pelbagai aktiviti menarik.

Tambahnya Mukhriz lagi, sepanjang Mahathir menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri banyak perubahan yang telah dilakukan untuk membina negara yang lebih maju.

“Banyak amalan yang perlu ditukar, ditambah baik, diperbaiki semuanya telah dilaksanakan oleh beliau, contoh dia buat Wawasan 2020 itu adalah untuk buat negara ini ke arah yang lebih maju,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Mukhriz juga mengingatkan Anwar bahawa kepimpinan kerajaan PH ketika itu bergerak secara kolektif yang dianggotai oleh jemaah menteri.

Saya “Saya juga nak ingatkan Anwar keputusan yang dibuat adalah dalam bentuk kolektif jadi tanggungjawab itu perlu dipegang bersama bukan menyalahkan seorang pemimpin sahaja, yang mana Tun M juga bergerak dengan jemaah menteri yang lain,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here