Kerajaan perkukuh kerjasama dengan Microsoft kekang kes penipuan dalam talian

0
11
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) hari ini.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memperkukuhkan kerjasama dengan Microsoft Malaysia dalam bidang keselamatan siber dan kes penipuan dalam talian bagi menyokong visi pembangunan digital negara.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) hari ini.

“Program ini akan dilaksanakan secara menyeluruh kepada seluruh Keluarga Malaysia termasuk forum kesedaran, bengkel kemahiran dan latihan teknikal bagi sektor awam serta swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, satu Jawatankuasa Ekonomi Perkongsian yang diterajui oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga akan ditubuhkan bagi menyelaras inisiatif dan program berkaitan Ekonomi Perkongsian di peringkat nasional melibatkan sektor awam, swasta,komuniti dan akademik.

Selain itu, katanya, Digital Nasional Berhad (DNB) menyasarkan capaian liputan 5G di Malaysia mencapai 40 peratus menjelang akhir tahun ini dan sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk menjelang tahun 2024.

Katanya, setakat ini capaian rangkaian 5G telah mencapai lebih daripada 30 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Menyentuh lebih lanjut, katanya, mesyuarat tersebut turut bersetuju untuk membangunkan Pelan Tindakan Teknologi Dron Malaysia 2022-2030 (MDTAP30) untuk menyokong ekosistem dron dan menjadikan MDTAP30 sebagai agenda nasional.

“Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) sebagai agensi penyelaras dan sekretariat MDTAP30 dan melaporkan kemajuan kepada ahli Majlis melalui Kluster Teknologi Baru Muncul.

“Sistem Pengurusan Trafik UAS (UAS-TM) juga akan dibangunkan bagi meningkatkan Kecekapan Proses Pendaftaran Operator Dron untuk meningkatkan pendaftaran UAS menjelang tahun 2030.

“Mesyuarat juga mengambil maklum akan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri seperti kerenah birokrasi yang akan diteliti bagi mengembangkan industri dron negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, ini kerana industri dron di Malaysia berpotensi menjana pertumbuhan sebanyak RM50.71 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan berupaya mewujudkan100,000 peluangpekerjaan menjelang tahun 2030.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya juga akan melaksanakan strategi berkaitan pembangunan Omnibus Act -Public Sector (Data Sharing) Act melalui Dasar Perkongsian Data Sektor Awam (DPDSA) dan Dasar Perkongsian Data Nasional (National Data Sharing Policy – NDSP) bagi meningkatkan ekosistem perkongsian data negara yang lebih kondusif.

Pada masa sama, bagi memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), program pendigitalan dan satu rangka kerja berintegrasi akan dilaksanakan melalui mekanisme Penyelesaian Pertikaian Dalam Talian (Online Dispute Resolution -ODR).

“Penubuhan pusat sehenti juga akan mempermudahkan akses program sokongan pendigitalan kepada para PKS.

“Selain itu, status pekerja ekonomi gig juga akan sentiasa dipantau untuk memastikan golongan ini mempunyai jaminan dari segi kewangan dan perlindungan undang-undang yang mencukupi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here