Kerajaan peruntuk RM5.8 bilion, tarif elektrik dikekalkan 

0
3
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan tarif elektrik bagi semua pengguna untuk separuh tahun kedua 2022 dengan peruntukan sebanyak RM5.8 bilion kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) selaras dengan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR).

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, langkah itu diambil supaya TNB tidak terkesan daripada kenaikan harga bahan api yang mendadak.

“Harga arang batu pada pertengahan 2022 mencecah USD400 se tan metrik daripada USD80 se tan metrik, mampu menjejaskan dan membebankan kedudukan ekonomi isi rumah rakyat Malaysia serta memberi kesan terhadap penjanaan elektrik negara.

“Lebih 80 peratus daripada elektrik yang dijana di Malaysia menggunakan arang batu dan gas,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan juga memberi jaminan ke atas pembiayaan TNB sehingga RM6 bilion untuk memastikan operasi syarikat tersebut menjana bekalan elektrik tidak akan terganggu bagi manfaat Keluarga Malaysia, di samping memangkin kemampanan industri tenaga negara.

“Pengguna domestik kategori kediaman serta pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri di Semenanjung Malaysia tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2022 melalui pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT),” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Laporan Kewangan Rakyat Ke-109 yang diterbitkan pada hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM77.7 bilion keperluan subsidi 2022 bagi meringankan kos sara hidup rakyat.

“Bagi petrol, diesel dan LPG sebanyak RM41.7 bilion, minyak masak paket 1kg (COSS) dan minyak masak botol sebanyak RM3 bilion.

“Bagi subsidi bil elektrik pula sebanyak RM5.8 bilion manakala subsidi kepenggunaan lain RM1.5 bilion juga bantuan-bantuan lain termasuk bantuan tunai, pendidikan, pengangkutan dan pertanian membabitkan jumlah RM25.7 bilion,”ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here