Kes culik Genting Highlands, wanita Pakistan didakwa

0
40

RAUB – Seorang wanita warga Pakistan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini berkaitan kes tular seorang kanak-kanak yang didakwa hampir menjadi mangsa culik.

Jika sabit kesalahan, tertuduh, Bibi Nasihat, 42, boleh didakwa mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dan dihukum di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, kata portal Awani.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Bibi Nasihat, 42, boleh didakwa mengikut Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan dan dihukum di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan

Bagaimanapun, kertas pertuduhan tidak dapat dibaca di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya berikutan ketiadaan jurubahasa dan tertuduh tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya S Punitha mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warganegara.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi merayu supaya anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minima.

Menurutnya, tertuduh yang sudah berumahtangga dan mempunyai seorang anak berusia 12 tahun baharu sebulan tiba di negara ini.

“Tertuduh tidak bekerja, datang ke negara ini kerana mengikut suaminya yang telah menetap di sini sejak tahun 2013. Suami tertuduh bekerja di sebuah kedai perabot dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

“Kami mohon agar wang jaminan dapat dikurangkan dengan mengambil kira latar belakang tertuduh, selain turut mengalami kesukaran untuk mendapatkan dua penjamin warganegara.

“Kami juga bersedia mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri dan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Ahmad Faizadh membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin pemastautin tetap, dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan kes disebut semula pada 1 Nov ini bagi mendapatkan jurubahasa Pakistan dan fakta serta hukuman.

Isnin lalu, satu video berdurasi satu minit 20 saat yang mendakwa seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik seorang wanita warga asing di Genting Highlands, menjadi tular di media sosial.

Susulan itu, pihak keselamatan Genting Highlands membuat laporan polis pada Isnin lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here