Kes pemerdagangan manusia: PM arahkan Kementerian Luar, KDN ambil tindakan segera

0
23
Sebahagian ahli keluarga mangsa pemerdagangan manusia memohon bantuan kerajaan bagi membebaskan ahli keluarga mereka yang dijadikan tebusan di negara asing.

CYBERJAYA – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah mengarahkan
Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan segera dan lebih agresif berhubung kes pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri berkata, kerajaan serius untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Saya menerima beberapa video menerusi laman media sosial TikTok mengenai aduan berkenaan kes pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat Malaysia.

“Suka saya maklumkan bahawa kerajaan serius untuk menyelesaikan isu ini. Perkara ini telah dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet pada bulan lepas. Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri telah diarahkan mengambil tindakan segera dan lebih agresif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau juga telah menghantar video itu kepada Menteri Luar dan Ketua Polis Negara untuk tindakan segera seterusnya.

“Saya beri jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu ini dan tidak akan membiarkan rakyat kita tanpa pembelaan,” katanya.

Baru-baru ini sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membongkarkan kes pemerdangan manusia melibatkan rakyat Malaysia di beberapa negara ASEAN.

Lebih menakutkan apabila terdapat rakyat Malaysia yang ditipu ejen telah diseksa, dipaksa melacur dan dipukul.

Malah terdapat kes rakyat Malaysia yang meninggal dunia dipercayai dibunuh sindiket di negara berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here