Kes SRC: Muhammad Shafee kembali wakili Najib

0
21
Muhammad Shafee Abdullah

KUALA LUMPUR – Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kembali ‘turun padang’ bagi mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam permohonan semakan keputusan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta, di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bulan depan.

Muhammad Shafee mengesahkan demikian ketika sebutan kes pengubahan wang haram RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking milik bekas Perdana Menteri itu, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini Mohamed Zaini Mazlan, hari ini.

“Saya kembali untuk mewakili Najib, meskipun berlaku sedikit `kekecohan’ ketika pendengaran rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan bulan lepas,” katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Mohamed Zaini kemudiannya bergurau dengan menyatakan bahawa peguam tersebut sepatutnya terus mewakili Ahli Parlimen Pekan itu dari awal.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan pengurusan kes kali pertama bagi permohonan semakan itu ditetapkan di Mahkamah Persekutuan pada 21 Oktober depan.

Menurutnya, pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan baharu dapat ditetapkan, sementara menunggu pelupusan permohonan tersebut.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut memaklumkan tarikh pendengaran semakan belum ditetapkan, namun pihaknya telah memfailkan notis perakuan supaya tarikh pendengaran kes dapat ditetapkan lebih awal.

“Permohonan itu difailkan pada 6 September lalu, perlu disegerakan kerana ia melibatkan isu asas yang perlu diputuskan segera, saya jangka permohonan itu akan didengar pada November ini,” katanya.

Pada 25 Julai lalu, Najib menghentikan perkhidmatan Muhammad Shafee dan peguam daripada firma Tetuan Shafee & Co dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan berlangsung pada Ogos.

Najib kemudiannya melantik peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik sebagai peguam utama pada 21 Julai dan Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguamcara baharu.

Bagaimanapun, ketika pendengaran rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 18 Ogos, Hisyam memohon untuk menarik diri selepas panel lima hakim tidak membenarkan prosiding itu ditangguhkan.

Mahkamah menolak permohonan Hisyam untuk menarik diri daripada mengendalikan rayuan berkenaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel lima hakim berkata, mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menolak permohonan itu, di mana tindakan penarikan diri itu boleh mengganggu kecekapan dan fungsi mahkamah.

Keesokan harinya, Hisyam memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa ZIST diberhentikan khidmat bagi mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 6 September lalu, Najib telah memfailkan semakan terhadap keputusan kes itu.

Beliau turut memohon agar pihak pembelaannya diberikan kebenaran untuk memulakan semakan tersebut sebagaimana yang termaktub dalam Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 sebelum hujah didengar.

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan pengubahan wang haram tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta iaitu hasil aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here