Khairy sahkan beri laluan kepada Tok Mat di Rembau

0
25
Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

CYBERJAYA – Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Khairy berkata, kerusi yang disandangnya itu ‘diserahkan’ kepada Mohamad Hassan.

“Saya tidak ada halangan. Sebab beliau (Mohamad) adalah Ketua UMNO Bahagian Rembau dan saya timbalan beliau.

“Jadi beliau telah minta saya cari tempat lain la sebab dia kata dia nak bertanding di Rembau,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan 2022 di sini hari ini.

Ditanya mengenai ‘kerusi ganti’ yang akan ditandingi beliau pada PRU 15 nanti, Khairy mengaku masih tidak membuat keputusan mengenai perkara itu kerana tidak pernah terfikir untuk beralih kerusi.

Bahkan beliau tidak menolak kemungkinan untuk tidak bertanding langsung.

“Saya tidak tahu kawasan lain. Saya berpolitik di Rembau lebih 20 tahun dan hampir 15 tahun saya jadi Ahli Parlimen Rembau.

“Sekarang saya kena berusaha kalau ada kawasan yang nak terima saya. Atau senario terburuk, saya tidak bertanding tapi tiada masalah bagi saya,” katanya.

Sebagai orang parti, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata beliau akan mengikut apa sahaja keputusan pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) berhubung calon PRU15 dan kerusi yang perlu ditandinginya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here