Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka hadiri sambutan Hari Malaysia 2022

0
14
Mohammad (tengah) ketika meninjau lokasi penganjuran sambutan Hari Malaysia 2022 di Bandar Hilir, Melaka, hari ini. – GAMBAR KKOM

MELAKA – Kira-kira 20,000 pengunjung dari dalam dan luar Melaka dijangka hadir pada sambutan Hari Malaysia 2022, yang akan berlangsung di hadapan Memorial Pengisytiharaan Kemerdekaan di Bandar Hilir, di sini, pada 16 Sept ini.

Laporan Bernama menyebut, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek sebagai berkata, persiapan rapi daripada pelbagai aspek bagi menyambut Hari Malaysia 2022, sedang giat dilakukan agar sambutan berkenaan berjalan lancar dan dalam keadaan selesa.

“Melaka merupakan negeri pertama sambutan Hari Malaysia diadakan selain di Sabah dan Sarawak sebelum ini. Justeru kita mengalu-alukan rakyat Melaka dan luar negeri ini, hadir memeriahkan sambutan berkenaan.

“Hari ini saya turun padang untuk meninjau keadaan kawasan serta persiapan sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini dan dari segi persiapan dan perancangan sambutan saya berpuas hati dengan kerjasama pelbagai agensi dan kerajaan, khususnya daripada kerajaan negeri Melaka,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Mohammad berkata, pelbagai program serta aktiviti menarik akan diadakan sebagai pengisian sambutan Hari Malaysia 2022, selain menarik kedatangan pengunjung.
Beliau berkata antara tetamu kehormat yang dijangka hadir memeriahkan sambutan berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mohammad berkata Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Bernama merupakan media rasmi sambutan Hari Malaysia 2022, selain media swasta lain.

“Sambutan Hari Malaysia 2022 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM dan promosi sambutan berkenaan akan dihebahkan menerusi saluran berkenaan, bagi menarik kedatangan pengunjung,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here