KKOM cadang wujudkan dana khusus bantu penerbitan filem berunsur kenegaraan

0
3

PUTRAJAYA – Satu dana khusus bagi membantu penerbitan filem tempatan berunsur kenegaraan dengan elemen perpaduan akan diwujudkan dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi tujuan tersebut.

“Saya sedang usahakan dan doakan seberapa cepat.

“Saya rasa penggiat industri filem perlu dibantu lebih lagi, bukan sekadar DKD (Dana Kandungan Digital) dan FIMI (Insentif Penerbitan Filem di Malaysia) sahaja, kerana kita mahu galakkan penerbitan pelbagai genre filem serta meraikan mereka yang mempunyai idea kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan OST dan trailer filem Seratus, di sini hari ini.

Tambahnya, peruntukan yang dipohon adalah sebanyak RM50 juta.

“Penggiat filem perlu dibantu dan disokong sejak dari proses awal penghasilan filem, bagi memastikan ia berkualiti dan setanding filem luar.

“Saya sedang cuba untuk melihat kemungkinan membuat suatu itu menjadi lebih fleksibel, jadi Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) boleh pilih filem yang patut diberikan sokongan (dana) khas ini,” katanya lagi.

Selain dana, Annuar berkata faktor kejayaan penghasilan dan kualiti sebuah filem tempatan bergantung kepada lakonan, skrip dan strategi pemasaran.

“Saya percaya industri filem tempatan boleh diangkat ke tahap lebih baik, dengan syarat penerbit dan pihak terlibat mestilah bersedia melakukan sesuatu di luar dari kelaziman,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here