KPLB peruntuk RM20 juta bantu usahawan luar bandar melalui program e-dagang 

0
11
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun berucap dalam Majlis Perasmian Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Siri 3 Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan RM20 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi mempergiatkan program e-dagang dan pendigitalan kepada usahawan luar bandar di bawah bimbingannya.

Menurut Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, KPLB menerusi inisiatif yang telah diperkenalkan iaitu [email protected] dapat membantu usahawan luar bandar memasarkan produk mereka secara dalam talian melalui platform e-Dagang dan aplikasi digital.

”Kita tahu terdapat cabaran dan halangan bagi produk luar bandar menembusi pasaran secara dalam talian.

“Jadi menerusi platform [email protected], kita bantu luaskan pasaran produk serta perkhidmatan ke pelbagai platform e-dagang selain menambah baik mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan, maklumat produk, foto serta video pendek yang berkualiti dan menarik untuk kesediaan usahawan berniaga dalam talian,”katanya memetik laporan The Malaya Post.

Ramlan berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Pendigitalan Usahawan (PPU) Siri 3 Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

Yang hadir sama, Pengarah KPLB Sabah, Johar Julasbi dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat E-Lokal Sdn. Bhd, Ahmad Shah Wahid.

Selain itu, KPLB juga menyasarkan sebanyak 5,000 produk dipasarkan di platform e-dagang melibatkan 5,000 usahawan luar bandar di seluruh negara.

“Sejak [email protected] diperkenalkan pada 2017, jualan terkumpul adalah sebanyak RM 4.49 juta dengan jumlah produk terkini sebanyak 3,886 unit manakala bilangan usahawan melebihi 3,000 orang.

”Berdasarkan perancangan untuk usahawan luar bandar, KPLB optimis kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan menjelang penghujung RMK-12,” ujarnya lagi.

Tambah Ramlan lagi, Program Pendigitalan Usahawan (PPU) dirangka khusus untuk mempersiapkan usahawan beralih kepada pendigitalan selaras dengan Revolusi Industri 4.0

Jelas beliau, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada pihak bank, penyedia perkhidmatan pembayaran dalam talian serta aplikasi pemasaran dalam talian turut menawarkan khudmat bagi memudahcara proses peralihan perniagaan secara dalam talian.

”PPU Siri 3 ini adalah siri terakhir pada tahun 2022. Pada tahun hadapan, kita akan merancang lebih banyak siri PPU di seluruh negara bergantung kepada kelulusan peruntukan yang akan diputuskan oleh EPU menerusi Rolling Plan (RP) 3 Tahun 2023,” katanya.

Untuk rekod, seramai 700 usahawan luar bandar telah mengikuti PPU yang dianjurkan pada tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here