KPM guna sistem perekodan hujung tahun ini, ringankan beban guru 

0
24
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Mat Jidin berucap dalam Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di sini, hari ini.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan sistem perekodan sebagai salah satu elemen transformasi pendidikan untuk mengurangkan beban guru-guru di seluruh Malaysia.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Mat Jidin, sistem berkenaan bakal digunakan pada hujung tahun ini selepas pelaporan baharu dilaksanakan.

“Sebelum ini antara aduan yang kita terima daripada guru adalah apabila mereka masukkan markah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) misalnya, guru terpaksa membuat perkara yang sama berulang kali apabila diminta daripada pihak lain.

“Keputusan daripada hasil perbincangan kita akan sediakan satu sistem khusus di mana guru-guru di Malaysia hanya akan masukkan markah dalam satu sistem sahaja.

“Jadi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) tidak lagi dibenarkan untuk dapatkan maklumat-maklumat tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan peranti untuk guru adalah antara yang perkara yang sedang dibincangkan dan bakal dibentangkan dalam Belanjawan 2023 akan datang.

Katanya, beliau sedar akan keluhan daripada pengusaha kantin dan sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan untuk menetapkan kadar baharu bagi program rancangan makanan tersebut.

“Pengusaha kantin mengeluh bila berlaku peningkatan harga bahan mentah dan dengan jumlah bajet yang disedikan sangat kecil, kita mohon agar kadar itu untuk dinaikkan dalam belanjawan yang akan datang,”katanya.

Tambahnya lagi, KPM turut mencadangkan untuk memberikan peranti khusus untuk guru, selaras dengan transformasi pendidikan ke arah digitialisasi.

“Setiap kakitangan awam mempunyai tempat untuk mereka menjalankan tugas (work station) dan mereka ada komputer masing-masing namun tidak untuk guru.

“Peranti dan komputer tidak disediakan untuk guru, jadi kita kali ini kita minta untuk Kementerian Kewangan pertimbangkan peranti untuk guru-guru memandangkan kita bergerak ke arah digitalisasi,” ujarnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here