Lebih baik adakan PRU jika PM terus gagal uruskan ekonomi dengan baik – Muhyiddin

0
22
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi penekanan yang lebih serius terhadap keadaan ekonomi negara sekarang yang dilaporkan semakin merudum dan menekan rakyat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pelbagai cadangan dan langkah telah diberikan menerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) tetapi tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Malah katanya, kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius oleh Perdana Menteri.

“Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit. Malah dikatakan ini bukan masalah besar. Kononnya, Malaysia tidak berada dalam krisis. As if everything is okay.

“Saya tahu tidak semuanya okey di luar sana. Malaysia mengimport sebahagian besar bahan makanan. Tahun lalu, nilai import bahan makanan sahaja mencecah RM63 bilion. Jika nilai ringgit terus merudum, harga barangan makanan akan menjadi lebih mahal.

“Is this okay? No, it is not okay. Nampaknya, Perdana Menteri tidak memandang semua isu ini sebagai sesuatu yang penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya situasi tersebut terus berlarutan, adalah lebih baik pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan bagi memilih kerajaan baharu yang lebih cekap mentadbir.

“Pada masa yang sama, Barisan Nasional sedang menekan Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dengan segera supaya pilihan raya dapat diadakan.

“Saya belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri supaya membubar Parlimen tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya.

Menyentuh mengenai usaha yang dilakukan oleh PN bagi mengurangkan beban rakyat, Muhyiddin berkata, antara yang dilakukan pihaknya termasuklah dengan menganjurkan Program Jualan Prihatin.

“Sebagai Pengerusi PN saya telah mengarahkan jentera parti supaya terus membantu rakyat yang susah termasuk mengedarkan bakul makanan kepada mereka yang memerlukan dan menganjurkan Program Jualan Prihatin yang menawarkan barangan keperluan harian dengan harga yang murah,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here