Lelaki maut lemas ketika halang kereta masuk laut

0
21
Kereta milik mangsa yang tergelongsor ke dalam air di Pantai Teluk Senangin, Manjung, Perak.

LUMUT – Tindakan seorang lelaki yang cuba menyelamatkan keretanya daripada menggelongsor ke dalam laut di Pantai Teluk Senangin, dekat Manjung, malam tadi berakhir tragedi apabila maut akibat lemas.

Mangsa, Muhammad Hafiz Ramli, 31, dipercayai maut di lokasi kejadian akibat terperosok di bawah kenderaan berkenaan dan lemas.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.34 malam dan mengarahkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika tiba di lokasi bomba mendapati sebuah Proton Gen2 berada di dalam air dan dimaklumkan bahawa mangsa terperangkap di bawah kenderaan.

“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa naik ke tepi pantai sebelum anggota bomba sampai ke lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan Hospital Seri Manjung dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here