Liputan satelit bagi capaian internet, 600 lokasi di Sarawak dikenal pasti

0
4

CYBERJAYA – Kerajaan sedang berunding dengan penyedia perkhidmatan bagi menyediakan liputan satelit bagi capaian internet di kira-kira 600 lokasi di Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, teknologi itu perlu digunakan walaupun melibatkan kos yang tinggi.

“Kita dah kenalpasti 600 lagi lokasi (di Sarawak) bagi liputan teknologi ini.

“Ini (teknologi satelit) pilihan terakhir, perlu dilakukan walaupun mahal kerana dasar kita ialah pada akhir JENDELA 2 kita mahukan kawasan berpenduduk termasuk kawasan terpencil dan pendalaman harus mempunyai ketersambungan jalur lebar,” kata Annuar ketika muncul dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Beliau yang kini berada di Sarawak bagi meninjau operasi pengagihan Peranti Siswa di negeri itu menambah, capaian internet di kawasan berpenduduk di Sarawak kini sudah melebihi 80 peratus, berbanding hanya kira-kira 70 peratus sebelum ini.

Jelasnya, keutamaan Pelan Induk Perkhidmatan Jalur Lebar Negara dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) iaitu menyelesaikan isu capaian internet di Sabah dan Sarawak bagaimanapun akan memakan masa.

“Proses ini memakan masa, bergantung sama ada kawasan itu mempunyai jalinan fiber optik atau tidak.

“Jika tiada, kita terpaksa gunakan rangkaian satelit, dan di setengah tempat, kita perlukan tambahan menara (komunikasi),” kata Annuar lagi.

Sementara itu, semalam, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, JENDELA sudah mencapai 95.82 peratus sasarannya setakat 30 Jun 2022.

Sasaran Fasa 1 yang akan tamat pada hujung tahun ini adalah sebanyak 7.2 juta premis yang dilengkapi kebersambungan fiber dan liputan 4G.

Fasa 2 pula akan bermula pada awal 2023 hingga 2025.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here