Liz Truss dinamakan PM Britain yang baharu

0
9

LONDON – Liz Truss dinamakan sebagai perdana menteri baharu Britain selepas dipilih memimpin Parti Konservatif, hari ini.

Selepas kempen selama beberapa minggu antara bekas menteri luar itu melawan bekas Menteri Kewangan Rishi Sunak, Truss nyata menjadi pilihan utama anggota Parti Konservatif dengan 81,326 undi berbanding 60,399 diperoleh lawannya.

Bagaimanapun, Truss bakal berhadapan tugas getir dalam memenuhi mandat ketika negara itu berdepan krisis termasuk kos sara hidup, perindustrian dan kemelesetan ekonomi.

“Kita perlu menunjukkan bahawa kita mampu mengotakan janji dalam tempoh dua tahun ini. Saya akan memperkenalkan langkah berani untuk mengurangkan cukai dan mengembangkan ekonomi,” kata Truss sebaik keputusan diumumkan.

“Saya akan mengotakan janji berhubung krisis tenaga, dengan membantu rakyat menangani bil tenaga mereka namun pada masa sama menangani isu jangka panjang berhubung bekalan.”

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Boris Johnson yang terpaksa meletak jawatan pada Julai selepas skandal selama beberapa bulan melihat sokongan terhadap pentadbirannya semakin meruncing.

Johnson dijadualkan menemui Ratu Elizabeth pada Selasa di Scotland, untuk menyerahkan peletakan jawatannya secara rasmi.

Truss akan turut bersamanya seterusnya diminta membentuk kerajaan oleh ratu berkenaan.

Truss bakal menjadi perdana menteri keempat Konservatif sejak 2015.

Sepanjang tempoh itu negara berkenaan berdepan pelbagai krisis malah kini dijangka menghadapi kemelesetan ekonomi jangka panjang yang dicetuskan inflasi setinggi 10.1% pada Julai.

Truss, 47, yang sebelum ini menjadi menteri luar di bawah pentadbiran Johnson, telah berjanji untuk bertindak pantas bagi mengatasi krisis kos sara hidup dihadapi Britain, dan berazam membentangkan perancangannya dalam masa seminggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here