Mahkamah benarkan pernyataan Fadzlette dalam kes perbicaraan libatkan Zahid Hamidi

0
22
Bekas Timbalan Perdana Menteri , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, keluar selepas perbicaraan tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. Foto-Farid Janudin/MT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan sebahagian besar pernyataan bertulis oleh Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican diterima dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bagaimanapun memutuskan ayat terakhir perenggan 17, keseluruhan perenggan 18 dan ayat terakhir perenggan 22 dalam pernyataan bertulis saksi (Fadzlette) yang dikatakan menyentuh mengenai isu kredibiliti bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, iaitu Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, dipadamkan daripada dokumen berkenaan, menurut laporan BH Online.

Pernyataan saksi Fadzlette yang juga bekas setiausaha akhbar dan saksi pembelaan kedua bagi pihak Ahmad Zahid keseluruhannya mengandungi 34 perenggan. Beliau kini memegang jawatan sebagai Pengarah Media Presiden UMNO.

Sequerah dalam keputusannya berkata, selain daripada tiga perenggan yang dipadamkan itu, beliau mendapati perenggan lain adalah berkaitan fakta secara langsung kepada isu yang membentuk teras kes pembelaan Ahmad Zahid.

Menurut hakim itu, oleh yang demikian sebahagian besar perenggan yang terkandung dalam pernyataan saksi Fadzlette bukan perkara sampingan mengikut Seksyen 153 Akta Keterangan 1950.

Sequerah berkata demikian selepas menolak bantahan pendakwaan terhadap pernyataan saksi pembelaan kedua itu dan memohon supaya perenggan 16 hingga 30 dipadamkan dengan alasan tidak relevan kepada kes serta hanya isu sampingan.

Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan pecah amanah Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi dan polisi insurans serta lesen kenderaan peribadinya, pemindahan wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here