Malaysia desak kuasa veto Majlis Keselamatan PBB dihapuskan – PM

0
19
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 semalam.

NEW YORK – Malaysia mendesak supaya kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah lama digunakan oleh kuasa besar dunia dihapuskan kerana ianya tidak demokratik dan melanggar prinsip hak asasi manusia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuasa veto seringkali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

“Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap majlis tersebut.

“Konflik dan krisis yang berlaku di dunia ini termasuk di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan akibat kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam bahasa Melayu di hadapan pemimpin dunia di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 semalam.

Ismail Sabri berkata, selaras dengan prinsip satu negara satu undi, sekarang adalah masanya kuasa veto dihapuskan.

“Sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya,” katanya.

Sementara itu, katanya, Malaysia turut menggesa Negara-Negara Anggota PBB untuk mewujudkan Mekanisme Kerjasama Monetari Antarabangsa bagi membina sistem yang lebih efektif, adil serta mampu mengimbangi keperluan pembangunan sejagat.

Perdana Menteri berkata, dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain.

“Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain.

“Di sinilah kerjasama dan penyelarasan antara negara perlu dipertingkatkan, bagi mencapai matlamat kesejahteraan ekonomi yang lebih adil untuk semua.

“Dalam struktur kewangan dan monetari antarabangsa yang masih didominasi oleh beberapa kuasa besar, serta dalam keadaan pemulihan ekonomi dunia, keputusan dasar monetari domestik perlu diselaraskan dengan mengambil kira realiti serta keperluan negara-negara membangun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here