Malaysia kekal tangga teratas industri halal 9 tahun berturut-turut

0
9
ISMAIL Sabri (tiga, kanan) pada majlis perasmian Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-18. FOTO Bernama

CYBERJAYA – Malaysia mencatatkan pencapaian terbaik dalam industri halal apabila berjaya mengekalkan kedudukan teratas dalam Petunjuk Ekonomi Islam Global buat sembilan tahun berturut-turut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan mengatasi pencapaian 81 negara lain itu adalah berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan ‘State of the Global Islamic Economy 2022’.

“Saya berasa bangga apabila dimaklumkan dalam tempoh sembilan tahun berturut-turut, Malaysia berjaya mengekalkan tempat teratas.

“Penilaian ini telah dibuat berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan
kesihatan,” katanya pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke 18 (MIHAS 2022) hari ini.

Ismail Sabri berkata, petunjuk ekonomi itu juga meramalkan peningkatan pasaran halal daripada RM8.8 trilion (USD2.09 trilion) seperti yang dilaporkan tahun lepas kepada hampir RM14 trilion (USD3.27 trilion) menjelang 2028.

Bagaimanapun beliau berkata, dalam usaha mempromosikan halal, negara perlu menangani sebarang isu berkait dengan jaminan halal yang berisiko menjejaskan sektor itu.

“Jaminan yang saya maksudkan ini merujuk kepada keyakinan pengguna, penyeragaman, pensijilan dan akreditasi,”katanya.

Menurut Perdana Menteri, antara inisiatif pertumbuhan industri itu ialah penubuhan ‘Halal Malaysia Industrial Parks’ yang merupakan Hab Halal dunia terbesar meliputi kawasan seluas 200,000 ekar di 14 Taman Halal.

Setakat ini katanya, Taman Halal itu telah menarik jumlah pelaburan terkumpul lebih daripada RM16 bilion, di mana RM9.5 bilion atau 59 peratus dari jumlah ini adalah pelaburan langsung
asing (FDI).

“Sejumlah 295 syarikat kini beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh Malaysia, termasuk 42 syarikat multinasional,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memuji usaha MITI dan MATRADE yang telah bertindak sebagai ‘Barisan Hadapan Ekonomi’ dalam pemulihan ekonomi negara ketika negara masih berhadapan dengan ancaman Covid-19.

Katanya, keupayaan menganjurkan MIHAS ke-17 secara maya tahun lepas berjaya mencatatkan hasil jualan eksport sebanyak RM2.13 bilion.

“Penganjuran MIHAS merupakan satu testimoni kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan strategi kerajaan dalam memacu pembangunan dan inovasi industri halal di Malaysia dan seterusnya memperkasakan lagi jenama Halal Malaysia di peringkat antarabangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here