Malaysia komited laksana transformasi sistem pendidikan negara – PM

0
15
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Malaysia komited melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara bagi memastikan tiada kanak-kanak di negara ini ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran di sekolah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyatakan komitmen itu ketika berucap pada Sidang Kemuncak Transformasi Pendidikan 2022 (TES 2022) yang diadakan di New York, Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata, usaha itu dilaksanakan melalui pelbagai program antaranya Sekolahku SEJAHTERA, komponen Pendidikan untuk Pembangunan Mampan (ESD) dan Pendidikan Kewarganegaraan Global (GCED) ke dalam kurikulum kebangsaan.

Katanya, inisiatif sama juga dilaksanakan melalui Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMA) dan mengutamakan sistem data amaran awal untuk merancang intervensi yang disasarkan dan untuk mengurangkan kadar keciciran.

“Malaysia mengesahkan komitmen dalam menyokong, membabitkan diri dan bekerjasama dengan semua pemegang taruh untuk memastikan tiada kanak-kanak tertinggal.

“Oleh itu, Malaysia akan terus memastikan sistem pendidikannya lebih saksama, inklusif, relevan, dan berdaya tahan dalam menghadapi krisis seperti wabak baru-baru ini, selain berdepan sebarang pembaharuan pada masa hadapan.

“Salah satu langkah transformasi utama yang kami lakukan adalah untuk membentuk semula pendekatan terhadap pembelajaran awal dan perkembangan kanak-kanak.

“Kami ingin memupuk nilai, sikap dan tingkah laku yang positif sambil menangani keperluan asas kesihatan mental dan kesejahteraan untuk murid sekolah,” katanya memetik laporan BH Online

Terdahulu beliau berucap melalui rakaman video pada TES 2022.

TES 2022 yang diadakan bermula Jumaat hingga Isnin lalu memberi tumpuan kepada usaha untuk mewujudkan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak global menerusi pelbagai kaedah bersesuaian.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, tanggungjawab global diperlukan bagi mengubah pendidikan demi mencapai matlamat pembangunan mampan untuk masa depan lebih baik kepada semua.

Beliau berkata, selaras dengan itu, Malaysia terus mengukuhkan perkongsian dengan institusi dan industri untuk berkongsi pengalaman serta melahirkan inovasi dalam bidang berkenaan.

Selain itu katanya, Malaysia juga menggalakkan pembangunan kebolehan pembelajaran sepanjang hayat, keupayaan inovasi yang mampan dalam sistem pendidikan sebagai sebahagian daripada usaha transformasi.

“Melalui Sekolahku SEJAHTERA pada tahun 2021, Malaysia menggariskan 14 elemen yang membolehkan guru mengintegrasikan pembelajaran harian untuk menyemai nilai positif.

“Malaysia juga memasukkan komponen ESD dan GCED ke dalam kurikulum kebangsaan untuk menggalakkan budaya keamanan, tanpa kekerasan dan penghormatan terhadap hak asasi manusia dalam kalangan pelajar kami dari muda.

“Selain itu melalui DELIMA, Malaysia akan terus membangunkan dan menaiktaraf struktur maklumat serta infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di semua sekolah.

“Kami juga sedang menggalakkan kurikulum bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi menyediakan pelajar pengalaman pembelajaran holistik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here