Malaysia-Palestin perkukuh hubungan dua hala

0
8

NEW YORK – Malaysia dan Palestin semalam memeterai empat memorandum persefahaman melibatkan penubuhan mesyuarat jawatankuasa bersama serta memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan, pelancongan dan hal ehwal Islam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyifatkan langkah itu sebagai satu komitmen berterusan negara dalam mendokong perjuangan dan hak Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

“Pendirian Malaysia sejak sekian lama tidak sama sekali menyokong Israel di mana-mana pertubuhan antarabangsa sehingga Palestin mendapat hak mereka sebagai negara berdaulat.

“Malaysia turut menyokong proses perdamaian Israel dan Palestin serta penamatan pendudukan Israel di wilayah Palestin yang diduduki,” tegasnya menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.

Ismail Sabri dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut menyaksikan pemeteraian MoU tersebut dalam pertemuan kedua pemimpin itu semalam, sebelum menyampaikan Kenyataan Negara di Debat Umum sempena Perhimpunan Agung ke-77 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tambahnya Ismail Sabri, Malaysia juga mengalu-alukan rakyat Palestin untuk menyambung pelajaran di Malaysia dalam bidang-bidang penting yang dapat membantu pembangunan semula Palestin.

“Sehingga kini, terdapat 800 pelajar Palestin di universiti terkemuka di Malaysia dan mereka meneruskan pelajaran dalam pelbagai bidang termasuk teknikal dan kejuruteraan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here