Malaysia rekod RM42 bilion Pelaburan Digital Langsung Asing dan RM4.7 bilion pelaburan domestik – PM

0
5
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang ketika merasmikan Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pulau Pinang hari ini.

GEORGETOWN – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia merekodkan sebanyak RM4.76 bilion Pelaburan Digital Langsung Domestik, setakat 24 Ogos lalu.

Perdana Menteri berkata, menerusi usaha itu sebanyak 6,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi sudah diwujudkan dan peluang ini akan terus meningkat pada masa akan datang.

“Semua pencapaian positif ini telah meletakkan Malaysia di kedudukan terbaik bagi mencapai sasaran pelaburan digital sebanyak RM70 bilion menjelang tahun 2025, selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Teknologi dan Inovasi Dunia 2022 (WCIT 2022) di Pulau Pinang hari ini.

Ismail Sabri berkata, Penganjuran WCIT 2022 yang mengangkat bertemakan ‘Menghubung dan Mentransformasi Dunia’ dilihat mampu untuk melonjakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara digital yang berdaya saing.

Beliau berkata, ia sekali gus berupaya memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam ekosistem teknologi dan inovasi.

“Besarlah harapan saya, kolaborasi rentas kementerian dengan agensi yang terjalin erat pada hari ini dapat dilipat gandakan lagi, dalam usaha merangsang ekosistem teknologi dan inovasi, demi kemakmuran negara dan kesejahteraan Keluarga Malaysia yang saya kasihi.

“Kejayaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah WCIT tahun ini patut kita banggakan. Ia jelas menunjukkan bahawa Malaysia bersedia untuk menerima kembali rakan-rakan kita dari seluruh dunia.

“Kerajaan berharap agar WCIT 2022 dapat melakar sejarah baharu dalam menarik lebih banyak pelaburan digital asing, sebagai usaha memacu sektor teknologi dan inovasi.

“Saya juga berharap agar platform ini digunakan sebaikbaiknya dalam membincang, mengilham serta mencetuskan idea baharu dalam perkembangan teknologi dan inovasi negara ke persada antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia telah memainkan peranan penting sebagai hab pelaburan digital di ASEAN.

Beliau berkata, sejak inisiatif MSC Malaysia diperkenalkan pada tahun 1996, kerajaan telah berjaya menarik pelaburan digital bernilai RM384 bilion.

Katanya, ia sekali gus telah melahirkan lebih 180,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, dengan menjana pendapatan berjumlah RM588 bilion.

“Selepas 26 tahun, MSC Malaysia diberi nafas baru melalui penjenamaan semula sebagai Malaysia Digital (MD). MD berperanan mentransformasi ekosistem ekonomi digital negara dan memacu lebih banyak program berimpak tinggi secara langsung kepada Keluarga Malaysia.

“Meskipun inisiatif MD telah dilancarkan pada Julai lalu, ia telah berjaya meraih nilai Pelaburan Digital Langsung Asing sebanyak RM42 bilion, hanya dalam tempoh dua bulan.

“Nilai ini dijana melalui pelaburan 28 buah syarikat asing yang terdiri daripada syarikat dalam sektor Pusat Data, Penyedia Perkhidmatan IT, Teknologi Kandungan Kreatif, dan Global Business Services (GBS).

“Kejayaan ini amat penting dalam proses pemulihan ekonomi negara, kerana ia akan mewujudkan peluang pekerjaan berpengetahuan tinggi, membantu merancakkan inovasi seterusnya melonjakkan lagi ekonomi digital,” kata beliau.

Beliau menambah, kerajaan telah merangka ekosistem pendigitalan untuk mencetuskan inovasi-inovasi yang baharu melalui inisiatif MyDigital, yang mencakupi Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital, dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara 4-IR (Four-iR).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here