Mechamato The Movie temui penonton Disember depan

0
10

CYBERJAYA – Berita baik buat penggemar animasi tempatan, apabila Monsta mengumumkan bahawa Mechamato The Movie akan ditayangkan di pawagam mulai 8 Disember depan.

Monsta dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, filem animasi tersebut adalah original arc (arka asal) yang menceritakan bagaimana watak utama, Amato bertemu dengan MechaBot yang terhempas ke bumi dengan robot-robot jahat yang lain.

“Setelah tiga tahun penantian, kemuncak yang paling dinanti-nantikan oleh para penonton filem tempatan bakal meletup dengan persembahan filem animasi ‘Mechamato Movie’,” kata Ketua Jenama dan Jualan Antarabangsa Monsta, Faiz Zainal Aabidin dalam kenyataan tersebut.

Sementara itu, sempena Oktober yang digelar bulan ‘Mechatober’, siri animasi ‘Mechamato The Animated Series’ akan tiba di saluran Netflix bermula 1 Okt ini dengan tayangan dalam enam bahasa berbeza termasuk Korea dan Jepun.

“Pada 3 Okt pukul 6 petang pula, semua penonton akan dapat mengejar siri ini di rangkaian TV9 secara percuma di seluruh negara. Selain itu, laman rasmi YouTube MONSTA CHANNEL akan turut memuat naik siri ini dalam versi bahasa Melayu.

“Tidak hanya terhenti pada bulan Oktober, siri tersebut bakal bersambung sehingga cuti sekolah hujung tahun ini di saluran televisyen tempatan TV3 bermula 4 Dis pada 10.30 pagi,” menurut kenyataan itu lagi.

Siri animasi Mechamato mengisahkan perjuangan seorang budak lelaki bernama Amato dan rakan robotnya Mechabot, yang melawan robot jahat.

Untuk rekod, Amato merupakan bapa kepada watak popular BoBoiBoy.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here