Muhyiddin jumpa Hadi minggu depan, minta penjelasan isu Muafakat Nasional 

0
27
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

PUTRAJAYA – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bertemu Tan Sri Abdul Hadi Awang pada minggu depan bagi menuntut penjelasan Presiden PAS itu yang didakwa berjumpa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).

Menurut Muhyiddin, perjumpaan dengan Ahli Parlimen Marang merangkap Timbalan Pengerusi PN itu akan diadakan pada Isnin atau Selasa ini.

“Saya ada baca kenyataan itu dan saya juga berminat nak tahu apa sebenarnya berlaku. Saya pun nak tahu adakah perbincangan sedemikian? Apa yang hasil perbincangan itu? Adakah UMNO bersetuju dengan perkara itu dan apakah pendirian PN susulan perbincangan terbabit?

“Jadi buat masa ini, kita akan tunggu peluang untuk bertemu dengan Abdul Hadi. Saya akan mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu apabila berjumpa beliau pada Isnin atau Selasa ini. Kami akan berbincang juga perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Keenam Bersatu di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Pengerusi PN merangkap Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.
Kelmarin, portal berita melaporkan pertemuan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi yang menguatkan lagi MN bakal dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdahulu, Muhyiddin dalam ucapan beliau hari ini menegaskan Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama PN menjelang PRU-15 akan datang.

Tambah beliau lagi, kenyataan tersebut merupakan salah satu perkara yang sudah disepakati oleh PN.

Sebelum ini media melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti itu kekal dengan pendirian menjalin hubungan dengan UMNO, sekali gus tidak bersetuju sama sekali dengan ketetapan atau pendirian menggambarkan BN sebagai musuh pada PRU-15.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here