Nahas helikopter Bidor: Laporan awal dalam masa 30 hari

0
7
WEE KA SIONG

SEPANG – Laporan siasatan awal nahas melibatkan helikopter Eurocopter EC120B di Bidor, Perak yang meragut nyawa juruterbangnya akan diumumkan dalam masa 30 hari.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah ditutup kerana usaha pencarian dan menyelamat sudah selesai.

Wee berkata, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) telah mengambil alih kes itu semalam manakala siasatan teknikal mengenai pelesenan serta kesahihan operasi helikopter tersebut akan dilakukan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Dalam masa sebulan saya akan dapat laporan awalan seperti hak milik helikopter serta punca kemalangan yang akan diumumkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Keselamatan Penerbangan Kebangsaan (SSP), di sini hari ini.

Dalam kejadian pada 11 Sept tersebut, helikopter berkenaan dilaporkan terputus hubungan dengan KLATCC pada 12.16 tengah hari dan dilaporkan hilang di kawasan Bidor, sebelum ditemukan keesokannya.

Wee berkata, laporan lengkap berhubung nahas itu akan diketahui dalam tempoh setahun dan sekiranya wujud kelemahan serta pelanggaran peraturan akan dimaklumkan kepada CAAM bagi tindakan susulan.

Katanya, BKSU adalah badan penyiasat bebas dan tujuan utama penyiasatan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan mengelak berlakunya kemalangan sama pada masa hadapan dan bukannya untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

“Laporan akhir yang lengkap juga akan dibawa ke perhatian CAAM untuk tindakan lanjut termasuk mengeluarkan arahan untuk memantapkan aspek keselamatan penerbangan awam,” katanya.

Dalam sidang akhbar itu, Wee turut melahirkan kekecewaannya apabila terdapat pihak tertentu mengeruhkan keadaan kerana mempertikaikan kenyataan awal beliau yang menyatakan juruterbang ditemukan selamat.

Jelasnya, beliau menerima maklumat ‘real time’ (masa sebenar) dari CAAM di KLATCC pada 8.18 pagi menyatakan bangkai helikopter telah ditemukan dan juruterbang, warga Hong Kong, Richard Chan Tsz Kin masih bernyawa sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira dua jam selepas itu.

“Kita kena lihat berdasarkan kepada maklumat ‘real time’ pusat SAR di KLATCC. Apa yang berlaku itu apa dilaporkan terus selepas penemuan.

“Kena lihat kenyataan saya dengan kenyataan polis yang bezanya dua jam. Orang laga-lagakan dengan pertikai apa berlaku 8.20 dan 11 pagi. Masa ditemui mangsa belum meninggal,” katanya.

Kematian juruterbang helikopter itu disahkan Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here