Najib mungkin dirujuk ke IJN hari ini – Peguam

0
4

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kepada pemberita selepas prosiding penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib, di Mahkamah Tinggi hari ini.

Untuk rekod, Najib dimasukkan ke wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam selepas mengalami masalah tekanan darah.

Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu Mahkamah Tinggi, keadaan tekanan darah tinggi bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu dengan puncanya tidak diketahui.

Menurut Muhammad Shafee, Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan yang akan mengambil masa beberapa hari bagi menentukan punca keadaannya dan mungkin dirujuk ke IJN.

Beliau bagaimanapun tidak boleh mendapat arahan lanjut daripada Ahli Parlimen Pekan itu kerana peguam tidak dibenarkan melawat beliau di wad HKL.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi Najib hari ini ditangguhkan.

Perkara itu tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding kepada petang esok untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan Najib.

Pada perbicaraan semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan mahkamah beliau diberitahu oleh Jabatan Penjara, keadaan Najib agak teruk selepas menukar ubat darah tingginya dan perlu dirujuk ke Hospital Kajang.

Najib, 69, berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here