Najib tarik balik saman terhadap kerajaan

0
25
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menarik balik saman terhadap Kerajaan Malaysia yang didakwa mengemukakan pertuduhan ke atas beliau secara salah dalam beberapa kes, termasuk penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun, tuntutan saman sama yang difailkan Najib terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang didakwa menyalahgunakan kuasa dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu secara salah melalui pertuduhan jenayah terbabit, masih diteruskan.

Dengan perkembangan itu, Thomas kini adalah defendan tunggal dalam kes saman berkenaan, lapor Berita Harian hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili Najib, pada pendengaran permohonan Thomas untuk membatalkan saman terbabit di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache.

Ketika ditanya oleh Ahmad mengenai kesan penarikan balik saman berkenaan terhadap kerajaan, peguam, Alan Gomez yang mewakili Thomas, berkata walaupun kerajaan bukan lagi pihak kepada saman itu, ia masih disifatkan bertanggungjawab secara vikarius (bertanggungjawab secara wakil).

Namun, beliau berkata, terpulang kepada plaintif untuk menarik balik tuntutan samannya terhadap mana-mana pihak.

Najib memfailkan saman itu pada 22 Oktober tahun lalu bagi menuntut ganti rugi RM1.9 juta, kerana mendakwa Thomas serta kerajaan menyalahgunakan kuasa dengan mengemukakan pertuduhan terhadapnya dalam beberapa kes, termasuk penyelewengan dana 1MDB.

Najib mendakwa, pertuduhan terhadapnya adalah sebahagian daripada perbuatan yang sudah dirancang lebih awal oleh Thomas selaras dengan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa pada 2015, Thomas berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kesalahan serta salah urus yang didakwa dilakukan pada dana 1MDB, dan menasihati Dr Mahathir supaya mengambil tindakan sivil serta jenayah terhadapnya (Najib) berhubung pembabitan dalam syarikat pelaburan strategik negara itu.

Najib dengan itu menuntut perisytiharan bahawa Thomas melakukan salah laku dalam jawatan awam, dan menuntut ganti rugi lebih RM1.9 juta, termasuk bayaran rundingan untuk pasukan audit melakukan semakan dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menangani pendakwaan terhadapnya.

Pendengaran permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib itu bersambung petang ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here