Najib tidak akan dihantar ke IJN, banduan perlu dirawat di hospital kerajaan – KJ

0
24
Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak akan terus menerima rawatan di hospital kerajaan iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan bukan di Institusi Jantung Negara (IJN) seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata, keputusan itu diambil seperti yang termaktub dalam prosedur banduan yang ditetapkan selama ini.

“Saya sudah menghubungi Pengarah HKL, Datin Paduka Dr Rohana Johan yang memaklumkan Najib kini dalam keadaan stabil. Najib tidak akan dihantar ke IJN kerana prosedur banduan adalah mereka perlu dirujuk ke hospital kerajaan.

“Disebabkan tidak mahu ada pertikaian selepas ini, jadi saya minta kepada HKL dan Timbalan Ketua Pengarah Perubatan, Datuk Dr Asmayani Khalib, untuk memberikan rawatan susulan yang diperlukan oleh Najib.

“Jika ujian kesihatan yang dilaksanakan ke atas Najib sudah selesai, laporan itu akan diserahkan kepadanya (Najib) dan juga mahkamah, jadi tiada lagi pertikaian selepas ini,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penerimaan Anugerah Malaysia Book Of Record dan Pelancaran Laporan Record Breaking Covid-19 Vaccination, di kementeriannya hari ini.

Tambah Khairy, dua mesyuarat konsultasi turut diadakan bersama keluarga Najib yang disertai Datin Rosmah Mansor.

“Saya sebenarnya tidak mahu beri maklumat lanjut tetapi ia menjadi isu umum, jadi saya kena jawab untuk menjaga integriti KKM,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya akan memberi rawatan dan perkhidmatan terbaik kepada semua banduan yang memerlukan rawatan dan bukan hanya kepada Najib semata-mata.

“Kami akan beri rawatan yang terbaik kepada banduan, kerana ia adalah tanggungjawab dan tugas KKM,” katanya.

Mengenai dakwaan pertukaran ubat yang diberikan kepada Najib, Khairy menegaskan, formula ubat yang diberikan oleh HKL adalah sama cuma jenamanya berbeza.

“Ubatnya sama (cuma) dulu ia dibeli di hospital swasta, bila (menerima rawatan) di HKL, kita ada ubat-ubatan di hospital kerajaan yang turut mempunyai formula yang sama macam ubatnya sebelum ini.

“Contohnya macam panadol, kita ada ubat lain macam paracetamol (PCM) yang fungsinya sama. Jadi tuduhan yang kata ubat ditukar itu adalah tidak tepat,” katanya.

Sebelum ini, Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan Najib yang dimasukkan ke HKL sejak semalam selepas mengalami masalah tekanan darah ituberkemungkinan akan dirujuk ke IJN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here