Nik Abduh nafi dakwaan salah guna kuasa pada majlis keluarga

0
16
Nik Mohamad Abduh Nik Aziz

CYBERJAYA – Kemudahan yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) bukan hanya untuk majlis perkahwinan anak tetapi turut melibatkan jamuan rakyat, demikian dakwa Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan menggunakan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan itu untuk tujuan peribadi.

Nik Abduh berkata, jamuan rakyat itu adalah majlis kesyukuran keluarganya yang dianjurkan bersama bapa saudara, Nik Razi Nik Mat sempena memperingati pemergian bapanya, bekas menteri besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Selepas kematian ayahanda saya tujuh tahun lepas, inilah julung kalinya keluarga besar kami menganjurkan jamuan rakyat dengan jemputan kepada seluruh masyarakat setempat, terutama rakan taulan dan anak murid kepada ayahanda yang sememangnya dibayangi dengan memori kerinduan kepadanya.

“Saya anggarkan sekitar 8,000 hingga 10,000 orang tetamu telah hadir dan lebih 30 kawah gulai telah dinikmati bersama selain juadah yang lain. Alhamdulillah,” katanya dalam hantarannya di Facebook hari ini.

Menurutnya, majlis itu turut dihadiri beberapa pemimpin PAS termasuk Mursyidul Am, Hashim Jasin, timbalannya yang merangkap Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dan beberapa pimpinan utama parti terdiri daripada ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Dalam pada itu, Nik Abduh turut berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis yang menerima permohonan untuk turut sama membantu melancarkan majlis keraian dan jamuan rakyat bagi memastikan kelancaran lalu lintas.

“Pihak MPKB sebagaimana biasa turut menyediakan tambahan tong-tong sampah bagi memudahkan urusan pungutan dan pemindahan sisa pepejal bagi menjamin kebersihan (kesihatan) dan keceriaan kawasan sekolah dan masjid Tok Guru yang perlu dipulihkan dengan cepat,” katanya.

Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 Sept daripada Nik Abduh kepada MPKB bagi memohon kemudahan majlis anaknya termasuk perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa bagi kawalan lalu lintas.

Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin kemudian mengesahkan menerima surat permohonan itu namun tidak membuat sebarang keputusan.

Tindakan pemimpin PAS itu turut dipersoalkan Pengerusi DAP Lim Guan Eng yang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Nik Abduh atas salah guna kuasa kerana meminta “kerjasama” daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan untuk menyediakan kemudahan majlis perkahwinan anaknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here