Pameran UNLOCK FCM Graduation Show Cetus Gelombang Baharu dalam Industri Kreatif 

0
9
Pengunjung sedang mencuba karya kreatif yang dihasilkan oleh para pelajar Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) di pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’, di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini

CYBERJAYA – Para pelajar Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) mencetuskan gelombang baharu dalam industri kandungan kreatif apabila menghasilkan karya bermutu dalam pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’, di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurut Dekan FCM, Ts. Dr. Lim Kok Yoong, pameran berkenaan adalah untuk meraikan kejayaan para pelajar menyiapkan projek tahun akhir dan sekali gus menjadi sebahagian daripada latihan serta persediaan untuk mereka memasuki alam pekerjaan sebenar dalam industri kreatif.    

“Pameran ini dibuka kepada orang awam untuk membolehkan mereka menilai hasil kerja keras para pelajar dan pada masa yang sama pemain industri boleh mencari bakat-bakat baharu yang mereka gemari. Pihak industri juga boleh menyaksikan bahan pameran berkualiti yang terhasil daripada korikulum subjek di FCM. 

“Pameran tahunan itu di e-Galeri itu adalah platform penting untuk pelajar FCM mempersembahkan kreativiti dan mempromosikan program-program fakulti tersebut kepada masyarakat,” katanya. 

Karya kreatif yang dihasilkan oleh para pelajar Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) di pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’, di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini

Mengulas lanjut, Pensyarah FCM, Nurleyana Wafa berkata, secara tradisinya, pameran pelajar tahun akhir itu adalah acara yang amat dinanti-nantikan oleh warga MMU dan masyarakat untuk melihat bakat-bakat terbaik dalam kalangan pelajar FCM.

“Tahun ini, kita meraikan pencapaian pelajar dengan mempersembahkan projek terbaik dalam program Rekabentuk Pengiklanan, Rekabentuk Interface, Seni Media, Kesan Visual, Realiti Maya (VR), Grafik Gerakan dan Model 3 Dimensi dan Animasi,” katanya.

Pelajar, Raisa Musthofa, 23, Siti Munirah Razaly, 24, dan Nur Afshaa Mohd Ameeruddin, 23, mempamerkan projek kandungan kreatifnya bertajuk ‘Virtual Reality Simulation for Vehicle Inspection Routine’ untuk membantu calon-calon menduduki 28 bahagian pemeriksaan dalam ujian lesen memandu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Karya kreatif yang dihasilkan oleh para pelajar Fakulti Multimedia Kreatif (FCM) di pameran ‘UNLOCK: FCM Graduation Show 2022’, di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Raisa berkata, ia memberi alternatif dalam kaedah pembelajaran secara Realiti Maya semasa pemeriksaan rutin kenderaan, berbanding kaedah tradisional. 

“Projek ini menyediakan platform untuk calon-calon menguji dan berlatih secara maya tentang rutin-rutin sebelum mereka memulakan pemanduan,” kata Siti Munirah.

Tambah Nur Afshaa, idea untuk menghasilkan ciptaan itu tercetus selepas membaca beberapa laporan berita dan kandungan media sosial tentang kesukaran calon dalam belajar memandu. 

Projek lain pula, “MITRICA” oleh pelajar Loh Zi Yang, 21, menampilkan ciptaan multimedia kreatif bagaimana sesebuah perniagaan kecil boleh menggunakan aplikasi tetingkap timbul dengan teknologi hijau pada masa depan.

Zi Yang menggunakan basikal elektrik yang dilengkapi dengan storan mudah alih dan panel solar untuk menghasilkan peranti mempunyai rekabentuk menarik dengan kos yang mudah dan guna tenaga yang rendah.

Para pengunjung pameran, Azzidin Abd. Aziz, dan isterinya, Zarina Abdullah, berasa kagum dengan kualiti dan kreativiti projek-projek yang dipamerkan oleh para pelajar. 

“Saya percaya, hasil kerja ini bukan sahaja layak untuk dipamerkan di pameran tempatan dan antarabangsa tetapi juga mempunyai nilai komersil yang tinggi,” kata Azzidin dari Subang Jaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here