Pasangan dipercayai kekasih ditemukan maut dalam kereta

0
27

ALOR GAJAH – Dua individu dipercayai pasangan kekasih ditemukan maut dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diselubung dengan kanvas di pekarangan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau, Masjid Tanah di sini, kira-kira pukul 9.25 pagi, siang tadi.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah berkata, mangsa lelaki berusia 20 tahun manakala pasangannya merupakan remaja bawah umur berusia 16 tahun.

Siasatan awal polis di lokasi kejadian mendapati, tiada sebarang unsur perlakuan jenayah ditemukan dan keadaan kedua-dua mangsa juga lengkap berpakaian.

Pemeriksaan lanjut menemukan seorang pemuda di tempat duduk pemandu dan perempuan di bahagian penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Hasil maklumat awal, pihak polis telah dimaklumkan oleh rakan remaja perempuan terbabit bahawa dia telah menghantar si mati ke lokasi tersebut pada pukul 4 petang semalam, bagi berjumpa pemuda berkenaan.

“Ketika itu, kereta itu telah diparkir di lokasi kejadian, kita percaya kedua-dua si mati ini adalah pasangan kekasih dan sengaja duduk berdua-duaan dalam kereta serta menutupinya dengan kain kanvas bagi mengaburi keberadaan mereka,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian.

Razali menambah, pasangan itu disyaki meninggal dunia kerana terhidu karbon monoksida susulan pendingin hawa dalam keadaan dihidupkan dan kereta berkenaan kehabisan petrol.

Jelasnya, polis juga menolak kemungkinan mangsa ada melakukan perkara sumbang meskipun semasa ditemukan keadaan kepala remaja perempuan didapati terlentok pada bahu kiri pasangannya.

“Kita bagaimanapun percaya kedua-dua mereka tidak melakukan perbuatan sumbang. Si mati lelaki baru sahaja menamatkan pengajian di Kelantan dan kekasihnya adalah pelajar tingkatan empat di sini,” jelasnya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here