Peguam hantar permohonan pengampunan diraja, Najib masih kekal sebagai Ahli Parlimen

0
40
Najib Razak

CYBERJAYA – Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan masih kekal selepas pihak peguamnya membuat permohonan pengampunan diraja pada 1 September lalu.

Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan atau ditolak.

“Memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak di bawah Perkara 42 PP pada 2hb September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai Ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

“Ini bermakna status Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampuan itu dibereskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, katanya, mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan, mana-mana Ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang Ahli Parlimen.

Katanya, dalam hal ini, Perkara 48(4)(c) memperuntukkan bahawa sekiranya satu petisyen pengampunan difailkan oleh Ahli Parlimen yang berkenaan dalam masa 14 hari dari tarikh rayuan diputuskan.

Beliau berkata, kehilangan kelayakan Ahli Parlimen berkenaan hanya akan berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen pengampunan dibereskan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here